Sindiket eksploitasi pekerja: 8 warga Malaysia ditahan di Australia

Rakyat Malaysia itu ditahan di kemudahan imigresen sementara menunggu dihantar pulang ke tanah air. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Lapan rakyat Malaysia ditahan di Australia, susulan serbuan ke atas 2 lokasi berasingan oleh pegawai Pasukan Sempadan Australia (ABF).

Portal berita Australia, news.com.au melaporkan pihak berkuasa menahan 5 warga Malaysia yang dipercayai terbabit dalam industri pertanian, menerusi serbuan pertama di sebuah rumah di Torrensville, pinggir bandar Adelaide, selatan Australia.

Mereka ditahan di kemudahan imigresen sementara menunggu dihantar pulang ke Malaysia.

Menurut laporan portal itu, 2 daripada 5 individu yang ditahan itu disyaki terbabit dalam pengurusan sebuah sindiket eksploitasi pekerja dikaitkan dengan New South Wales.

Pada hari sama, pegawai ABF menyerbu sebuah hartanah di Euston, New South Wales, di mana 3 lagi rakyat Malaysia ditahan.

Komandar ABF, James Copeman dipetik portal itu sebagai berkata, serbuan itu sebahagian daripada Operasi Battenrun yang menyasarkan pekerja asing tanpa izin dan penipuan migrasi terancang.

Katanya, pekerja haram mudah menjadi sasaran serta sering “dibayar gaji rendah dan mendapat layanan teruk”.

Portal itu melaporkan serbuan itu tiada kaitan dengan satu siri tangkapan sama pada Ogos lalu, di mana seorang lelaki Thailand dan 2 warganegara Malaysia ditahan.