Tiada perubahan ketara dalam aliran masuk dana asing, kata penganalisis

Aliran ringgit berkait rapat dengan prestasi renminbi China berikutan kedudukan Beijing sebagai rakan dagang terbesar Malaysia. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Aliran dana asing ke dalam ekuiti tempatan masih tidak banyak berubah pada fasa akhir 2018 walaupun ramai yang sebaliknya berpandangan positif terhadap prospek yang bakal disaksikan pada tahun depan.

Kalangan penganalisis berpendapat walaupun aliran masuk bersih dana asing lebih ketara pada minggu pertama Disember ini, namun ini sebaliknya dijejaskan oleh aliran keluar dana tersebut.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata dalam tempoh 20 hari menjelang tahun baru 2019, aliran keluar bersih dana asing terus kekal sebagai sesuatu yang biasa dalam pasaran.

“Setakat ini, nilai kumulatif jualan asing dalam tempoh empat hari pertama minggu ini adalah berjumlah RM143.1 juta berbanding RM160 juta pada minggu sebelumnya,” katanya.

Malah, katanya, bagi tempoh setakat tahun ini, jualan asing itu mencecah RM10.57 bilion.

“Lebihan akaun semasa Malaysia pada masa ini menunjukkan negara ini tidak banyak meminjam daripada pasaran global.

“Selain itu, prestasi kedudukan eksport kita juga baik. Bagaimanapun, kita tidak melihat prestasi sama turut dicatat syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Pendapatan korporat pada suku ketiga juga kurang memberansangkan dan banyak syarikat yang masih gagal memenuhi jangkaan pelabur. Pendapatan korporat ini perlu lebih menarik dalam usaha mengurangkan jualan bersih berkenaan,” katanya.

Sambil mengakui prestasi kurang cemerlang itu sebagai ketara di hampir semua papan di Bursa Malaysia, Pong berkata ini turut melibatkan saham teknologi yang tidak mampu mencatat peningkatan walaupun dalam keadaan ringgit yang lemah.

Ringgit misalnya rendah sedikit ketika mengakhiri minggu ini iaitu pada paras 4.1640/1680 berbanding dolar AS.

Beliau menyifatkan aliran ringgit itu berkait rapat dengan prestasi renminbi China berikutan kedudukan Beijing sebagai rakan dagang terbesar Malaysia.

Sementara itu, Ketua Dagangan OANDA bagi rantau Asia Pasifik, Stephen Innes berkata, minggu ini menjadi “kejutan” bagi ringgit yang diunjur diniagakan pada paras antara 4.15 dan 4.17 berbanding dolar AS, minggu depan.

“Bagaimanapun, ringgit sebaliknya menjadi mangsa sentimen risiko yang rendah dan penurunan harga minyak. Namun, saya sendiri agak optimis (terhadap prestasi ringgit) kerana ada tanda menunjukkan pendirian Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (yang tidak cenderung terhadap kenaikan kadar faedah) akan menyebabkan dolar AS susut,” katanya.

Dalam pada itu, perkembangan korporat tempatan pada minggu ini turut dikejutkan dengan perletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood, selepas berkhidmat selama lebih 4 tahun.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pihak MDEC, Yasmin memberi alasan tindakan beliau itu adalah bagi meneruskan kerjaya dengan syarikat teknologi di Jakarta.

Selain CEO, beliau turut melepaskan jawatan lain dalam MDEC berkuat kuasa 15 Jan, 2019.

Sementara itu, bekas Penasihat CIMB Islamic Advisor Datuk Noripah Kamso pula dilantik sebagai pengerusi baru Bank Rakyat, manakala Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd Radzi dilantik menganggotai Lembaga Pengarah bank itu berkuat kuasa serta-merta pada 6 Disember lepas.