Tony Pua kecewa tersingkir daripada Jawatankuasa DAP Selangor

Tony Pua berikrar terus berkhidmat untuk parti dan kerajaan, walaupun tidak mempunyai jawatan dalam DAP.

PETALING JAYA: Bekas pengerusi DAP Selangor, Tony Pua kecewa tidak dipilih menganggotai jawatankuasa negeri dalam Konvensyen DAP Selangor 2018.

Ahli Parlimen Damansara itu berkata, beliau tidak mahu mempertahankan jawatannya sebagai pengerusi negeri, tetapi berharap dapat menganggotai Jawatankuasa DAP Selangor untuk membantu pucuk pimpinan baharu.

“Sudah tentu saya agak kecewa sedikit, tetapi saya terima keputusan itu.

“Saya kecewa kerana saya tiada (dalam jawatankuasa itu). Saya tidak mahu bertanding jawatan pengerusi, tetapi saya tidak kata saya tidak mahu menjadi sebahagian jawatankuasa itu.

“Saya mahu berada di dalamnya untuk menyokong pengerusi baharu,” katanya sambil menambah beliau akan terus berkhidmat untuk parti dan kerajaan.

Bagaimanapun, Pua berkata, tidak dipilih menganggotai jawatankuasa itu tidak menjejaskan kerjanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dipilih sebagai pengerusi DAP Selangor bagi menggantikan Pua, hari ini.

Gobind mendapat 393 undi, manakala Pua yang memperoleh 292 undi, tersingkir daripada Jawatankuasa DAP Selangor.

Terdahulu, Pua dalam ucapannya mengingatkan ahli DAP tidak melupakan prinsip teras DAP dan hilang arah demi jawatan.

“Kita mungkin sudah memenangi pilihan raya umum lalu, tetapi jangan lupa rakyat akan menilai kita dalam 4 tahun akan datang. Apa sahaja yang kita lakukan diperhatikan pengundi.”

Setiausaha politik menteri kewangan itu berkata, satu daripada pencapaian paling memuaskan bagi DAP ialah mengalahkan MCA dalam pilihan raya umum ke-14 lalu dan partinya tidak patut mengikut cara “angkuh” MCA.

“Disebabkan usahanya untuk meneruskan kejayaan dan kekayaan, prestasi MCA jatuh ke tahap ia tidak mampu menarik bakat ke dalam parti itu. Apa yang kita nampak ialah pemimpin lama yang sama. Itu sebabnya rakyat menolak MCA dan Barisan Nasional.”