Abang bawa ‘Ultraman’ ke rumah demi adik OKU berusia 32 tahun

Abang bawa ‘Ultraman’ ke rumah demi adik OKU berusia 32 tahun

Arthur mengupah seorang lelaki untuk memakai kostum Ultraman bagi menggembirakan adiknya yang merupakan seorang peminat siri Ultraman dan Power Rangers sejak kecil.

Tindakan seorang abang mengupah watak Ultraman ke rumahnya demi menceriakan adiknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) ternyata menyentuh hati netizen.

Pemilik Facebook yang menggunakan nama Arthur Techeir, berkongsi beberapa keping gambar dan kisahnya membawa ‘Ultraman’ ke rumah demi adik OKUnya yang berusia 32 tahun.

“Adik saya berdepan kecacatan mental selepas satu kemalangan kereta pada 1986/87. Kini mentalitinya seperti kanak-kanak sekitar 3 hingga 4 tahun tetapi dalam tubuh dewasa.

“Tidak dapat berjalan dan tidak boleh bercakap sebaiknya,” tulis Arthur.

Ekoran itu, Arthur mengupah seorang lelaki untuk memakai kostum Ultraman bagi menggembirakan adiknya yang merupakan seorang peminat siri Ultraman dan Power Rangers sejak kecil.

“Sepanjang hidupnya, memandangkan dia seorang kanak-kanak, dia aktif menonton Ultraman dan siri Power Rangers dalam DVD berbahasa Melayu secara berulang, setiap hari.

“Dia tidak faham kisahnya tetapi dia suka. Dia mematahkan setiap DVD tersebut kerana tidak tahu mengendalikannya dan bapa saya akan terus membeli yang baru setiap bulan,” kongsi Arthur.

Dalam status yang sama dia juga akui pernah mengadu kerisauannya mengenai kepupusan DVD kepada bapanya.

“Hanya 2 penyelesaian. Sama ada muat turun ke dalam perkakasan ‘hard drive’ atau muat turun dari Internet (yang mana saya sedar adalah salah). Kini semakin sukar menemui siri Ultraman dan Power Rangers berbahasa Melayu dalam DVD mahupun dalam talian.”

Memandangkan adiknya hanya menonton versi asli siri Power Rangers dan pekedai tidak lagi menjualnya, Arthur juga menyeru netizen yang mempunyai salinan tersebut untuk memaklumkannya.

Arthur berkata, kini selepas mempunyai pendapatan yang stabil dia mengupah seorang lelaki berpakaian yang beraksi seperti Ultraman demi memuaskan adiknya.

“Ia mungkin tidak bermakna apa-apa kepada orang biasa seperti kita. Tetapi melihat dia (adiknya) berseronok sepanjang satu jam setengah dalam hidupnya itu amat tidak ternilai harganya buat saya,” kongsi Arthur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.