Deepak dakwa diawasi, perniagaan disekat sebelum PH kuasai Putrajaya

Deepak berkata, beliau berasa bebas selepas kemenangan PH.

PUTRAJAYA: Usahawan permaidani, J Deepak mendakwa dirinya sering diawasi pihak tertentu, bahkan perniagaanya juga sering terganggu sewaktu pentadbiran kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Deepak memberitahu FMT, selepas Pakatan Harapan (PH) mencatat sejarah dengan memenangi pilihan raya umum ke-14 dan berjaya membentuk kerajaan pada 9 Mei lalu, barulah beliau merasakan dirinya “merdeka”.

“Pada hari 9 Mei lalu bukan sahaja Malaysia merdeka buat kali kedua, saya juga merdeka daripada genggaman Datuk Seri Najib Razak dan merasakan diri saya bebas.

“Sebelum ini saya tersekat, saya diawasi, keadaan saya memang tertekan bukan sahaja dari aspek mental, bahkan dalam bisnes, semuanya disekat.

“Sekarang ini saya manusia yang sangat bahagia dan gembira, bahkan bisnes saya juga boleh disifatkan mengalami “kelahiran kedua”,” katanya.

Deepak berkata, beliau sendiri sudah lama menyokong PH, namun keadaan sebelum ini tidak mengizinkannya tampil ke hadapan untuk memberikan sokongan terbuka kepada gabungan 4 parti berkenaan.

Beliau berpandangan Presiden PH Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail merupakan pemimpin politik yang bersih daripada rasuah, bahkan tulus dalam menjalankan tugasnya ketika ini sebagai timbalan perdana menteri.

“Saya rasakan Kak Azizah (Wan Azizah) seorang yang bersih dan dia akan bawa muafakat kepada negara. Saya rasakan personaliti seperti Wan Azizah menyebabkan PH menang pilihan raya lalu.

“Imejnya sempurna, tulus bahkan boleh saya katakan antara yang paling tulus dalam arena politik di Malaysia ini,” katanya.

Pada Majlis Makan Malam Amal PH di sini malam tadi, Deepak berjaya membida potret Wan Azizah dengan harga RM150 ribu, bahkan menjadi antara pembeli yang membantu PH mengutip jumlah keseluruhan sebanyak RM1.2 juta daripada jualan lelong gambar pemimpin PH.

Awal bulan lepas, Deepak, yang juga pengarah syarikat Carpet Raya Sdn Bhd memfailkan saman terhadap Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor kerana mendakwa pasangan itu sepatutnya bertanggungjawab membayar cukai hasil yang dikenakan ke atas syarikatnya ketika ahli perniagaan itu menjadi ejen dan proksi kepada mereka.

Kesemua plaintif dalam saman itu, iaitu Deepak sendiri, Carpet Raya Sdn Bhd dan adiknya, J Rajesh memfailkan saman itu menamakan pasangan tersebut dan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Deepak mendakwa antara 2004 hingga 2010, beliau dan syarikat itu bertindak sebagai ejen dan proksi kepada Najib dan Rosmah dalam transaksi penjualan dan pembelian tanah serta perniagaan bawah arahan pasangan suami isteri berkenaan.

Beliau mendakwa, akibat daripada transaksi berkenaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menghantar surat bertarikh 2 Mac 2018 kepadanya supaya menyelesaikan tunggakan cukai Carpet Raya dan cukai individunya berjumlah lebih RM6 juta, tidak termasuk kenaikan cukai penalti dan faedah.

Mereka juga dikehendaki membayar tunggakan cukai itu secara ansuran selama 24 bulan bermula Januari 2018 sehingga Disember 2019 selaras dengan keputusan Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 21 Sept 2017.

Plaintif menuntut pengisytiharan mahkamah bahawa Najib dan Rosmah adalah pihak bertanggungjawab untuk membayar tunggakan cukai yang dikenakan terhadap syarikat berkenaan.