Kemenangan PRU14 milik PKR, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad bersama isterinya, Siti Hasmah Ali menghadiri Majlis Makan Malam Amal PH di Putrajaya, malam tadi.

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu sebenarnya milik PKR kerana 4 parti komponen gabungan itu menggunakan logo dan bendera parti berkenaan untuk bertanding.

Perdana menteri memuji pemimpin PKR yang “murah hati” kerana mereka berhak menguasai kerajaan dan menerajui negara, tetapi tidak berbuat demikian.

“Yang menang bukannya PH, yang menang adalah PKR. Ia aneh dan ia adalah usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk halang PH bertanding. PPBM ketika itu diharamkan dan kita juga tidak dapat tubuh PH.

“Maka, mereka berpendapat kita tidak boleh bertanding sebagai parti campuran, namun ini diatasi dengan meminjam nama dan logo parti PKR.

“Dengan simbol ini, rakyat berikan kepercayaan yang cukup tinggi hinggakan rakyat ketika itu tidak dapat menolaknya,” katanya sewaktu berucap dalam Majlis Makan Malam Amal PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam tadi.

Dr Mahathir turut memberi amaran kepada pemimpin PH tidak sesekali menerima atau mengambil rasuah daripada mana-mana pihak atau mereka akan dikenakan tindakan.

“Kerajaan PH perlu tentukan mereka bersih daripada rasuah, tidak ada istilah duit adalah raja. Kalau sesiapa hulur sesuatu, saya minta maaf, mereka akan dituduh cuba rasuah kerajaan.

“Tindakan undang-undang akan dikuatkuasakan. Kita menentang rasuah kerana tahu rasuah ini akan menggagalkan negara. Hanya negara yang tidak amalkan rasuah sahaja boleh berjaya.

“Inilah perubahan ketara yang besar, kita mendirikan kerajaan yang bersih kerana rakyat hendak kita jadi bersih. Rakyat yang menentukan kita menang, inilah kepercayaan mereka.”

Katanya, rakyat boleh menolak PH pada PRU15, jika mendapati pemimpinnya mengamalkan rasuah.

“Kalau kita terus bersih dan dilihat sebagai sebuah pemerintahan yang tidak kotor, dicemar dengan ketamakan, maka kita akan terus berkuasa.

“Apabila datang PRU15 yang saya tidak akan pimpin selepas ini, kita akan menang jika kita bersih, tapi kalau kita kotor, rasuah tidak peduli siapa jadi pemimpin kita akan dikalahkan.”

Dr Mahathir turut menggesa pihak berkuasa membantu golongan berpendapatan rendah dengan apa sahaja dana dimiliki kerajaan dan beliau yakin rakyat akan lega apabila ekonomi negara beransur pulih tahun depan.

“Bagi mereka (rakyat), penukaran dan pemulihan dilakukan kerajaan ketika ini belum ada makna lagi.

“Dengan duit yang sedikit, maka kita akan bantu sehinggalah pemulihan ekonomi negara kita membuahkan hasil. Inilah kerajaan PH yang selalu mendengar suara rakyat.”