Menteri: Akaun TH 2017 alami defisit RM4.1 bilion

Pelan pemulihan secara menyeluruh perlu dilakukan bagi memulihkan penyata kira-kira TH.

KUALA LUMPUR: Akaun Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2017 yang dibentangkan di Parlimen hari ini menunjukkan jumlah aset keseluruhan TH ialah sebanyak RM70.3 bilion dengan jumlah liabiliti RM74.4 bilion, kata Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata laporan TH menunjukkan defisit sebanyak RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Katanya, dengan kedudukan kewangan sebenar TH pada tahun itu, pengisytiharan serta pembayaran hibah bagi 2017 melanggar Akta TH 1995.

“Akta TH 1995 khusus mengenai pembayaran hibah. Terdapat 2 syarat yang perlu dipenuhi sebelum pembayaran hibah boleh dilakukan iaitu aset tidak boleh kurang daripada liabiliti serta perlu ada keuntungan yang boleh diagihkan.

“TH mengisytiharkan hibah sejak 2014 dan ia tidak mengikut akta kerana asetnya kurang daripada liabiliti,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Beliau berkata demikian selepas laporan kewangan TH dibentangkan di Parlimen hari ini.

Pada 30 November lalu, TH membuat 2 laporan polis terhadap bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail; Datuk Seri Johan Abdullah serta barisan pengurusan kanan.

Laporan pertama berhubung Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017, di mana RM22 juta disalurkan untuk aktiviti didakwa mempunyai kecenderungan politik, manakala satu lagi laporan dibuat kerana menyembunyikan maklumat penting dan salah nyata membabitkan penjualan saham TH pada 2012.

Pada 3 Disember lalu, memetik laporan media Singapura Sunday Times, TH kekurangan RM4 bilion wang pendeposit berbanding asetnya sejak 2017 berdasarkan penyata kewangan TH bagi 2016.

Pendedahan yang dibuat itu turut mendakwa, jurang kekurangan ini mungkin lebih besar bagi 2017 dan 2018.

Menurut Sunday Times, aset TH bagi 2016 berjumlah RM63.6 bilion berbanding wang pendepositnya sebanyak RM67.7 bilion daripada 9 juta pendeposit.

Mujahid berkata berdasarkan keadaan semasa TH ketika ini, pelan pemulihan secara menyeluruh perlu dilakukan bagi memulihkan penyata kira-kira TH.

Beliau berkata, inilah perkara sebenar yang dilakukan oleh ahli lembaga pengarah yang baharu.

“Di bawah pelan pemulihan, ahli lembaga pengarah yang baharu mencadangkan penubuhan ‘Special Purpose Vehicle’ (SPV) bagi mengambil alih, memulihkan dan memaksimumkan pemulihan aset TH yang kurang menunjukkan prestasi.

“Kabinet telah berbincang tentang pelan pemulihan ini dengan teliti dan memberi sokongan penuh terhadap pelan tersebut supaya kedudukan kewangan TH dapat diperbaharui serta mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan pelan jangka masa panjang yang mapan, kerajaan memutuskan untuk meletakkan TH di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia secara pentadbiran bermula 1 Januari 2019.