Muhyiddin: Himpunan ICERD bukti PH junjung demokrasi, kebebasan bersuara

Polis menganggarkan 55,000 peserta menyertai himpunan membantah ICERD di Dataran Merdeka semalam yang berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

PUTRAJAYA: Tiada sekatan, halangan dan tangkapan pada perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara semalam, bukti kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjunjung demokrasi dan kebebasan rakyat bersuara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun himpunan itu dikatakan “setback” kepada kerajaan, namun ia juga menunjukkan hala tuju kerajaan mendaulatkan undang-undang serta satu langkah ke depan untuk rakyat menyuarakan pendapat.

Presiden PPBM itu berkata, tiada insiden tidak diingini berlaku dalam himpunan itu seperti beberapa perhimpunan yang diadakan pada zaman pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Dahulu penahanan, tindakan menghalang dilakukan untuk tidak membolehkan individu tertentu berucap dan ada yang ditangkap dan dimasukkan dalam penjara untuk satu ketika.

“Ini membuktikan Malaysia Baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didokong rakyat, menjunjung prinsip demokrasi, hak bersuara kita tak sekat dan kita meneruskan urusan perhimpunan itu berdasarkan kedaulatan undang-undang,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Amal PH malam ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dilaporkan berkata, anggaran 55,000 peserta menyertai himpunan itu yang berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sebelum ini, penganjur dilaporkan berkata, perhimpunan itu diadakan sebagai tanda kesyukuran atas keputusan kerajaan tidak meratifikasikan triti berkenaan serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Kerajaan PH tidak akan meratifikasi ICERD dan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum semasa pembentukan negara.