Netizen berang, tiket final Piala AFF 2018 dijual pada harga RM500

Netizen berang, tiket final Piala AFF 2018 dijual pada harga RM500

Tinjauan FMT Ohsem mendapati individu ini semakin berleluasa dan berani dengan mempamer serta menjual semula tiket perlawanan pada harga mahal secara haram.

Selepas tiket final Piala AFF Suzuki habis dijual, ramai yang tercari-cari cara alternatif untuk mendapatkannya.

Peluang ini digunakan oleh ulat tiket untuk menjual kembali tiket tersebut pada harga mencecah RM500 iaitu 10 kali ganda dari harga asal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), RM50.

Tinjauan FMT Ohsem di laman Carousell mendapati individu ini semakin berleluasa dan berani dengan mempamer serta menjualnya secara terbuka.

Walaupun menjadi buruan, ternyata harga yang ditawarkan menyebabkan netizen naik berang sehingga ada yang memaki hamun di laman sosial.

Netizen mendakwa individu ini sengaja meletakkan harga yang tinggi dan tidak masuk akal bagi mengaut keuntungan menjual semula tiket perlawanan secara haram.

Netizen juga persoalkan motif ulat tiket yang memanipulasi peminat bola sepak yang sanggup bersengkang mata demi sekeping tiket untuk menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Vietnam di stadium Bukit Jalil pada Selasa ini.

Menurut laporan, sebanyak 80,000 tiket Final AFF Suzuki Cup 2018 habis dijual dan FAM dalam laman Facebook rasminya, mengesahkan 40,000 tiket dijual secara langsung di 3 lokasi di sekitar Lembah Klang.

Manakala 40,000 tiket habis dijual dalam talian pada Jumaat dan semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.