
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata dia tidak mempunyai harta walaupun sebuah kereta.
“Apa nak isytiharkan? Saya miskin,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dilapor berkata masih terdapat 13 Ahli Parlimen kerajaan yang masih belum mengisytiharkan harta kepada badan anti-rasuah itu.
Semakan mendapati beberapa Ahli Parlimen hanya mengisytiharkan jumlah pendapatan bulanan dan tidak mengisytiharkan jumlah aset.
Mereka termasuk Mohamaddin (Silam), Datuk Liew Vui Keong (Batu Sapi), R Sanisvara Nethaji Rayer (Jelutong), Wong Tack (Bentong) dan Mordi Bimol (Mas Gading)
Apabila ditanya adakah beliau akan mengisytihar harta, Mohamaddin berkata dia akan berbuat demikian jika mempunyai aset.
“Kalau saya ada harta, saya isytiharlah,” katanya.
Awal hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berkata dia tidak mempunyai harta untuk diisytiharkan kepada SPRM selepas mengisytiharkan sumber pendapatannya.