Beli undi: SPRM mula siasat Sivarraajh berikutan keputusan mahkamah

C Sivarraajh.

BUKIT MERTAJAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat Ahli Parlimen Cameroh Highlands Datuk C Sivarraajh berikutan keputusan mahkamah yang mendapati pengundi disuap bagi membantu beliau menang di kawasannya dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull berkata, badan itu kini mengumpul bukti berikutan pendedahan yang dibuat oleh mahkamah.

“Mahkamah membuat keputusan berdasarkan kenyataan saksi dan jika terdapat bukti yang melampaui keraguan munasabah mungkin kita akan teruskan. Kita perlukan bukti kukuh di mahkamah.

“Jadi dalam kes ini, kita masih menyiasat,” katanya kepada satu sidang media di sini hari ini.

Apabila ditanya sama ada terdapat laporan dibuat terhadap Sivarraajh, Shukri berkata, SPRM tidak memerlukan laporan rasmi untuk memulakan siasatan, dan pegawainya juga bergantung pada laporan media.

Pada 30 Nov, selepas mendengar petisyen yang difailkan calon DAP yang kalah, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan perbuatan rasuah telah dibuktikan dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan Sivarrajh dalam kempen di kerusi Cameron Highlands.

Beliau menang dengan majoriti 597 undi dalam pertandingan 5 penjuru mengalahkan calon DAP, PSM, PAS dan Berjasa.

Semasa perbicaraan, ketua Orang Asli memberitahu mahkamah bahawa calon Barisan Nasional untuk kawasan Parlimen Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri Jelai memberi wang sebanyak RM2,100 kepada 6 Tok Batin beberapa hari sebelum hari pengundian bagi mendapatkan sokongan mereka.

Tok Batin itu juga memberitahu mereka diberi RM200 sebagai “duit rokok” semasa tempoh kempen 12 hari.

Sivarraajh menafikan beliau memberi wang untuk membeli undi.

Minggu lepas, beliau diarah meninggalkan Dewan Rakyat berikutan keputusan mahkamah pilihan raya itu selepas Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bertanya sama ada beliau memperoleh penangguhan ke atas keputusan mahkamah itu.

Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengarahkan Sivarraajh keluar dewan sehingga beliau boleh mengesahkan rayuannya terhadap keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangan beliau dalam pilihan raya Mei lepas.

Semalam, Ariff menarik balik arahannya itu dengan berkata Sivarraajh boleh menghadiri persidangan Parlimen dengan syarat beliau memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari.