Menteri: Pasaran saham tak stabil punca dividen LTAT jatuh 6% selama 3 tahun

Mohamad Sabu berkata, lembaga pengarah dan pengurusan LTAT akan berusaha mengenal pasti pelaburan baharu menguntungkan dan berdaya maju, selain menyemak semula pelaburannya dari semasa ke semasa.

KUALA LUMPUR: Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merosot 6% selama 3 tahun berturut-turut disebabkan ketidaktentuan prestasi pasaran saham tempatan, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, sebahagian besar pendapatan LTAT dijana melalui aktiviti pelaburan seperti penjualan tanah, faedah atas simpanan deposit dan sewaan hartanah miliknya.

“Pengisytiharan dividen LTAT untuk sesuatu tahun berkait rapat dengan keuntungan yang diperolehi LTAT dalam tahun tersebut.

“Sebahagian besar pendapatan LTAT diperolehi melalui sumber pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburannya dan aktiviti penjualan saham,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Amzad Mohamed (PAS-Kuala Terengganu) yang ingin tahu faktor kemerosotan keuntungan bersih LTAT dan dividen 6% dari 2015 hingga 2017.

LTAT ialah badan berkanun yang memberi manfaat persaraan kepada anggota tentera. Setiap tentera menyumbang 10% daripada gaji bulanannya kepada dana itu dan kerajaan menambah 15%.

Asetnya termasuk pencakar langit di beberapa lokasi yang paling dikehendaki di Kuala Lumpur.

Mat Sabu berkata, lembaga pengarah dan pengurusan LTAT akan berusaha mengenal pasti pelaburan baharu menguntungkan dan berdaya maju, selain menyemak semula pelaburannya dari semasa ke semasa.

“Ini untuk memastikan pelaburan LTAT adalah selamat dan memberi pulangan sebaiknya.”

Katanya, hasil keuntungan LTAT diagih semula kepada pencarum dalam bentuk pemberian dividen yang dikreditkan ke akaun mereka.