
Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata tempoh rayuan 14 hari untuk Naib Presiden MIC, C Sivarraajh merayu terhadap keputusan Hakim Azizah Nawawi akan tamat pada Jumaat.
“Paling awal, mahkamah boleh keluarkan perakuan kepada SPR pada Isnin untuk membuat persiapan mengadakan pilihan raya,” katanya.
Beiau berkata satu pilihan raya keci boleh diadakan 30 hari selepas perakuan dikeluarkan untuk mengisi kekosongan itu.
Haniff mengulas pengumuman Sivarraajh bahawa dia tidak akan merayu keputusan Azizah mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas mendapati ada unsur-unsur rasuah pada pilihan raya umum 9 Mei lepas.
Mahkamah mendapati M Manogaran, yang memohon pemilihan Sivarraajh tidak sah, berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wang diberikan kepada pengundi dalam tempoh kempen.
Mahkamah juga dimaklumkan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terlibat dalam memberikan wang tunai kepada pengundi Orang Asli.
Minggu lalu, FMT melaporkan Wan Rosdy berisiko kehilangan kerusi DUN Jelai jika Sivarraajh gagal merayu Mahkamah Persekutuan.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata Seksyen 37(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya menyatakan mana-mana orang yang terbukti bersalah mengamalkan rasuah akan dilapor kepada SPR.
Peruntukan menyatakan orang tersebut akan dikenakan ketakupayaan yang sama seperti calon yang memberi rasuah.
Rafique berkata Sivarraajh dan Wan Rosdy juga boleh dihalang aripada bertanding dalam mana-mana pilihan raya selama 5 tahun jika Mahkamah Persekutuan mengetepikan rayuan Sivarraajh.
Manogaran, yang memfailkan petisyen mendakwa pembelian undi besar-besaran, berkata Sivarraajh berharap pada Wan Rosdy untuk bertemu pengundi, terutama Orang Asli yang membentuk kira-kira 20% daripada pengundi Jelai.
Parlimen Cameron Highlands menaungi DUN Tanah Rata, yang dimenangi DAP dan DUN Jelai.
Sivarraajh memenangi kerusi itu dengan majoriti 597 undi dalam pertandingan 5 penjuru yang sengit.
Beliau memperoleh 10,307 undi, Manogaran 9,710 undi, Wan Mahadhir Wan Mahmud dari PAS 3,587 undi, Mohd Tahir Kassim dari Berjasa 81 undi dan Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia 680 undi.
Sementara itu, Manogaran berkata pihaknya akan menunggu sehingga Jumaat untuk melihat sama ada Sivarraajh akan membuat rayuan.
“Apa sahaja boleh berlaku antara hari ini dan Jumaat dan sama ada pilihan raya kecil akan diadakan lebih cepat daripada yang dijangka,” katanya.
Manogaran, yang bertanding dan tewas 2 kali kepada calon BN untuk merebut kerusi itu, berkata dia tetap memberi khidmat kepada pengundi walaupun kalah. “Tetapi, sebarang keputusan tentang calon sesuai di tangan kepimpinan parti,” katanya.
Manogaran adalah timbalan pengerusi DAP Pahang.
Kerusi itu mempunyai 32,000 pengundi, yang terdiri daripada Melayu (35%), Cina (30%), Orang Asli (20%) dan India (15%).