2 lelaki Aceh disebat 100 kali jalin hubungan seks dengan kanak-kanak

Hukuman sebatan 100 kali terhadap 2 pesalah terlibat seks bawah umur itu dilakukan dalam stadium. (Gambar AFP)

LHOKSEUMAWEDUA: Dua lelaki ditahan dan disebat 100 kali kerana melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak perempuan bawah umur di wilayah Aceh pada Rabu.

Sebatan merupakan hukuman biasa bagi pelbagai kesalahan di wilayah kepulauan Sumatera itu, termasuk perjudian, minum arak dan melakukan seks sejenis atau berzina.

Ia merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang mengamalkan undang-undang Islam.

Kedua-dua lelaki yang disebat itu ditahan tahun ini – seorang melakukan hubungan seks dengan anak tirinya yang masih di bawah umur dan seorang lagi menjalinkan hubungan dengan jiran yang juga bawah umur.

Umur perkahwinan di Indonesia adalah 18 tahun dan bagi yang berumur 16 tahun, mereka perlu mendapat kebenaran ibu bapa.

Hukuman 100 sebatan dikhaskan untuk jenayah paling teruk dan pasangan itu juga dijatuhi hukuman penjara 5 tahun.

Selain itu, berpuluh lelaki disebat minggu ini kerana terlibat perjudian dalam talian, satu kesalahan di bawah undang-undang Islam dengan masing-masing menerima 7 hingga 11 sebatan.

Semasa menerima hukuman, seorang pesalah mengangkat tangannya dan memohon pegawai syariah bertopeng berhenti selepas dia menerima 5 sebatan, mengatakan dia tidak dapat menahan kesakitan itu.

Sebatan disambung semula selepas doktor yang memantau hukuman di lokasi kejadian mengesahkan dia cukup kuat untuk menerima lebih 95 sebatan.

“Kami hanya menangguh hukuman sebat jika doktor mengatakan terdapat ancaman kesihatan yang serius,” kata pendakwa setempat, Isnawati kepada pemberita.

Seorang lagi pesalah turut menanggung kesakitan secara senyap apabila darah dapat dilihat pada bahagian belakang kemejanya.

Tidak seperti hukuman sebatan di tempat awam yang boleh disaksikan penonton, termasuk kanak-kanak, kali ini hanya beberapa orang boleh menyaksikan hukuman itu yang diadakan di stadium.

Biasanya hukuman sebat diadakan di tempat awam di luar masjid selepas solat Jumaat.