Bahan makanan Malaysia ini jadi trend kulinari global

Bahan makanan Malaysia ini jadi trend kulinari global

Banyak sumbangan kulinari benua Asia khususnya Malaysia menjadi kegilaan global terutamanya di Amerika dan Eropah sering diabai.

Nama Malaysia, berbanding negara-negara jiran lain, seringkali tidak diketahui oleh masyarakat dunia. Kita seolah-olah halimunan dan itu bukannya sesuatu yang menyenangkan.

Banyak sumbangan kepada dunia, khususnya dalam bidang kulinari di benua Asia, misalnya bahan-bahan makanan yang kini menjadi kegilaan global terutamanya di Amerika dan Eropah sering diabai.

Segala sumbangan disalah faham sebagai sumbangan negara jiran seperti Singapura. Meskipun Singapura dan Malaysia pernah bersatu serta kongsi beberapa persamaan, tetapi sejujurnya, siapa yang mahu orang lain menerima pengiktirafan atas kejeyaan mereka sendiri betul tak?

Sementara anda berdebat tentang hal ini, kami senaraikan dahulu 8 bahan tempatan yang menjadi sebahagian daripada trend global kini.

1. Pandan

Sebelum anda mulakan perdebatan tentang asal-usul sejarah, kami ingin nyatakan bahawa pandan merupakan tumbuhan yang mudah ditemui di negara-negara Asia seperti India, Sri Lanka, Bangladesh dan semestinya Malaysia. Oleh itu, tidak bolehlah kami mengatakan kegilaan pandan di negara Barat disebabkan Malaysia sahaja. Oleh sebab tiu, sumbangan ini dikreditkan pada seluruh benua Asia.
Dari segi rupa, daun pandan kelihatan seperti rumput atau lalang. Oleh itu, ramai yang tidak sangka bahawa pandan merupakan satu tumbuhan yang cukup versatil.

2. Bunga Telang

Bahan tempatan Malaysia kedua yang mendapat tempat dalam trend global ialah bunga telang. Bunga ini cukup istimewa kerana digunakan sebagai pewarna organik dan mempunyai kelebihan untuk bertukar warna apabila digabung dengan bahan-bahan lain seperti jus lemon dan rosel.
Di Malaysia, penggunaan bunga telang dalam masakan sudah diamalkan sejak zaman dahulu lagi dan sajian popular yang dikaitkan dengan bunga ini ialah nasi kerabu. Kini, bunga telang banyak diguna pakai untuk menghasilkan warna biru, merah jambu, ungu dan merah secara semula jadi untuk penyediaan minuman koktel, pastri dan pencuci mulut lain.

3. Kelapa (Santan)

Kesedaran tentang penggunaan kelapa dan santan mula disebar di negara-negara Barat sedangkan negara-negara di Asia yang beriklim tropika sudah lama menggunakan bahan ini dalam kehidupan seharian mereka. Trend global terbaru santan tersebar kerana penyediaan makanan bagi diet ketogenik yang membenarkan pengamal diet ini mengambil makanan tinggi lemak dan rendah karbohidrat. Ekoran populariti diet keto ini, permintaan terhadap santan cukup tinggi! Kita di Timur, sudah lama amalkan diet keto ini, kalau nak diikutkan, betul tak?

4. Burger Ramly

Burger merupakan makanan segera global yang cukup disukai oleh semua orang tanpa mengira umur, bangsa dan agama. Bagi rakyat Malaysia, tiada burger yang lebih sedap daripada burger Ramly. Nama burger ini bukanlah diberi kerana pencipta burger ini bernama Ramly tetapi berdasarkan jenama daging burger yang digunakan iaitu jenama Ramly.
Perisa burger ini begitu menyelerakan dan kompleks sehinggakan apabila diperkenalkan di luar negara, burger ini mendapat sambutan hangat dan dijual pada harga RM 51 sebiji.

5. Gula Melaka

Bahan seterusnya yang menjadi trend global ialah gula Melaka.
Ia merupakan bahan yang hanya boleh didapati di Malaysia, dengan cara memproses nira nipah yang dikumpul. Gula Melaka adalah alternatif gula proses dan cukup digemari oleh masyarakat Malaysia dalam penyediaan manisan dan pencuci mulut kerana rasa manis lemaknya. Dalam kalangan komuniti global pula, gula melaka mula mendapat tempat apabila timbulnya kesedaran untuk mencari pemanis alternatif bagi gula putih.

6. Kaya

Mengamuk rakyat Malaysia apabila mendengar kaya berasal dari Singapura.
Kalau mentega kacang dianggap sebagai lepa khas penduduk Amerika, begitu jugalah signifikan kaya kepada kita. Kaya merupakan lepa pekat berwarna coklat yang cukup lemak dan manis. Nama ‘kaya’ itu sendiri menggambarkan betapa lemaknya sapuan tersebut.
Kaya lazimnya dimakan bersama roti benggali yang dikukus hingga lembut dan dipasangkan sama ada dengan dua biji telur setengah masak atau secawan teh’o panas untuk sarapan pagi.

7. Agar-Agar

Alangkah terkejutnya masyarakat Malaysia apabila agar-agar yang dijual 20 sen sepotong didapati di jual di New York pada harga $30 dolar sebiji!
Rupa-rupanya, agar-agar atau nama glamornya, raindrop cake berjaya dijadikan sebagai satu trend unik dan kemudiannya, secara global ekoran rupa agar-agar yang lutsinar tetapi kaya dengan perisa.

8. Pegaga

Bahan tempatan terakhir yang disenaraikan dalam artikel ini adalah tak lain dan tak bukan, daun ulam kegemaran masyarakat tua di Malaysia, iaitu daun pegaga. Antara kebaikan pegaga adalah menajamkan pemikiran dan memperbaiki tahap penglihatan anda.
Kebaikan dan manfaat pegaga baru-baru ini sahaja mula tular secara global setelah ubat-ubatan alternatif mula mendapat tempat salam kalangan masyarakat global sehinggakan satu botol kecil serbuk pegaga boleh mencecah ratusan ringgit.

Malaysia sememangnya sebuah negara emas atau dalam bahasa Sanskrit, ‘Suvarnabhumi’. Kita sahaja yang terlalu taksub dengan kelebihan negara luar sehinggakan tidak dapat melihat kemewahan yang ada di negara kita sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.