Ibu dan isterinya bukan sahaja terkejut malah bertanya jika beliau sudah gila apabila menyatakan hasratnya merantau ke Malaysia untuk bekerja melatih buaya.

Namun Aungkya W Zhaw, 34, nekad lalu meninggalkan keluarga dan kampung halamannya di Myanmar kira-kira 10 tahun lalu, semata-mata untuk bekerja mengendali buaya di negara ini.
Mesra dengan panggilan Zhaw, beliau adalah antara 6 pengendali buaya yang bekerja di Crocodile Adventureland Langkawi, sebuah taman buaya di Jalan Teluk Datai.
“Sudah hampir 4 tahun saya bekerja di sini. Sebelum ini saya bekerja di sebuah ladang buaya di Kuantan, Pahang, selama 6 tahun,” katanya kepada Bernama.
Buaya ada angin
Menceritakan perjalanan hidupnya sejak tiba di negara ini, beliau belajar mengendali buaya daripada seorang warga tempatan yang berpengalaman bernama Abdul Kadir Abdullah, 47.
“Sambil bekerja di ladang buaya, Abdul Kadir mengajar saya cara-cara mengendali reptilia itu selama lebih setahun, sebelum saya dapat melakukannya sendiri.
“Banyak pengetahuan saya dapat daripada Abdul Kadir, yang sekarang sama-sama bekerja di sini (Langkawi),” jelas beliau sambil memberitahu Abdul Kadir hilang jari telunjuk kerana dilibas reptilia itu.
Mengakui pada peringkat awal terpaksa melawan rasa takut untuk berhadapan dengan haiwan yang terkenal ganas itu, namun berkat kesungguhan, beliau berjaya mengatasi ketakutannya.
“Buaya ini ada anginnya juga. Ia akan menjadi lebih agresif khususnya semasa musim mengawan. Tak bolehlah kita merapatinya pada masa itu,” katanya yang fasih berbahasa Melayu.
Sepanjang bekerja, Zhaw sudah beberapa kali digigit buaya tetapi kecederaannya tidak serius.
Sambil menunjukkan parut-parut luka di tangan akibat gigitan sang bedal, bapa kepada 2 orang anak itu memberitahu tidak pernah serik dengan insiden-insiden berkenaan dan akan meneruskan pekerjaannya.
Tidak amal ilmu
Zhaw ditemui Bernama sejurus usainya pertunjukan bersama Bujang Lang, gelaran yang diberikan kepada seekor buaya tembaga jantan sepanjang hampir 5 meter dan berumur 42 tahun.
Dengan hanya berbekalkan sebatang kayu sepanjang 2 meter, beliau dengan bantuan seorang lagi pekerja menarik keluar buaya yang seberat kira-kira satu tan itu dari sebuah kolam cetek sebelum persembahan.
“Kami terpaksa melakukannya dengan berhati-hati dan penuh konsentrasi dengan memegang ekornya dahulu untuk menariknya keluar sebelum menempatkannya di satu kawasan kering untuk memulakan pertunjukan,” katanya.
Dengan beberapa kali urutan di sekitar badan dan kepalanya, Bujang Lang seolah-olah terpukau dan mulai mengangakan mulutnya sehingga melebihi setengah meter, mempamerkan deretan giginya yang tajam.
Zhaw meletakkan tangannya di dalam mulut reptilia yang ternganga itu untuk beberapa ketika.
“Saya tidak mengamalkan apa-apa ilmu mistik. Cuma menggunakan pengetahuan mengenai cara-cara menenangkan buaya supaya tidak bertindak agresif,” katanya ketika ditanya mengapa buaya berkenaan kelihatan dalam keadaan pegun sepanjang pertunjukan itu.
Selain terlibat dalam pertunjukan yang menakjubkan itu, Zhaw yang bertugas 9 jam sehari dan 6 hari seminggu itu juga bertanggungjawab memberikan makanan kepada buaya-buaya di taman itu serta mengutip telur-telur reptilia berkenaan.
Terdapat lebih 4,000 ekor buaya di situ. Sebanyak 72 kilogram ayam diagihkan secara berperingkat-peringkat, 7 kali sehari. Kolam-kolam tempat buaya berendam selain tempat buaya betina bertelur juga sentiasa dibersihkan.
“Walaupun dah hampir 10 tahun mengendalikan buaya, saya tidak pernah terlintas untuk untuk mencari pekerjaan lain,” katanya sambil menambah pendapatan bulanannya tetap berbaloi biarpun risikonya agak tinggi. Sejak mula bekerja beliau telah beberapa kali pulang ke kampung halaman melawat keluarganya.
Buaya tembaga paling ganas

Pengurus besar Taman Buaya Langkawi Sdn Bhd yang mengendalikan Crocodile Adventureland Langkawi, Adam Fuaad berkata Zhaw adalah seorang pekerja yang komited dan tekun.
Zhaw adalah antara beberapa orang pengendali buaya yang terpilih untuk membuat pertunjukan kerana sikapnya yang sentiasa mematuhi arahan dan mengutamakan keselamatan.
“Beliau memiliki karakter yang sesuai untuk menjadi ‘showman’, sangat berani tetapi tidak terbawa-bawa untuk melakukan sesuatu yang di luar arahan,” katanya.
Adam berkata memang ada persembahan di negara-negara lain di mana pengendalinya meletakkan kepala mereka ke dalam mulut buaya tetapi ia melibatkan spesis buaya Siamese (Crocodylus siamensis) yang tidak agresif.
“Buaya tembaga yang juga dikenali sebagai Salt Water Crocodile atau Crocodylus Porosus ini mempunyai reputasi sebagai spesies yang paling ganas dan persembahan meletakkan tangan ke dalam mulutnya sahaja dibenarkan di sini,” katanya.