BN akan cadang nama pengerusi PAC baru

Zahid Hamidi berkata ini kerana manifesto PH menyatakan jawatan pengerusi PAC dikhaskan kepada anggota Parlimen daripada pembangkang.

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mencadangkan calon lain bagi menggantikan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) susulan tindakan pemimpin dari Sabah itu keluar Umno semalam.

Bercakap pada sidang media, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana manifesto Pakatan Harapan (PH) menyatakan jawatan pengerusi PAC dikhaskan kepada anggota Parlimen daripada pembangkang.

Kiandee, selaku ahli Parlimen Beluran, dilaporkan berkata beliau pula tidak boleh meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PAC walaupun sudah membuat keputusan meninggalkan Umno sehingga Parlimen membuat keputusan lanjut berhubung perkara itu.

Kiandee adalah antara 6 ahli Parlimen, 9 Adun, 2 senator dan 21 ketua Umno bahagian negeri meninggalkan parti itu semalam, sekali gus menjadikan parti itu hampir lumpuh di Sabah.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata kerusi Parlimen Cameron Highlands tetap milik MIC untuk ditandingi pada pilihan raya kecil (PRK) kelak.

MIC hari ini dilaporkan berkata ia tidak akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan calon BN dari MIC, Datuk C Sivarraajh, bagi kerusi tersebut pada PRU14 adalah terbatal dan tidak sah kerana berlaku amalan rasuah.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, berkata Pengerusi PAC mestilah dalam kalangan wakil rakyat pembangkang selaras dengan manifesto PH pada PRU14, Mei lalu.

“Kita kena ikut apa yang ada dalam peraturan. Kalau ikut peraturan, ia terdiri daripada wakil rakyat pembangkang, jadi kena ikut peraturanlah,” katanya ketika diminta mengulas kedudukan Kiandee susulan tindakannya keluar Umno.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Siri Syarahan Umum Yang Dipertua Dewan Rakyat. Julung kali diadakan, syarahan bertajuk “Parlimen dan Masyarakat Awam: Suara Rakyat?” itu disampaikan oleh Presiden dan Pengasas Institut Demokrasi dah Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz.

Ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Yamani Hafez Musa yang masih belum mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Sipitang, Ariff berkata anak bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman itu, mempunyai tempoh sehingga 15 Jan depan untuk berbuat demikian.

“Kita telah berikan beberapa tarikh kepadanya. Beliau perlu hadir angkat sumpah di Parlimen sebelum tarikh itu jika tidak mahu hilang kelayakan,” katanya.

Mengenai siri syarahan umum, Ariff berkata ia merupakan satu langkah pembaharuan ke arah memartabatkan Agenda Reformasi Parlimen Malaysia sebagai institusi badan perundangan yang terbuka dalam amalan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.