Ingat Makro? 9 jenama terkenal yang mati ditelan zaman

Bercakap mengenai beberapa jenama lampau, pasti generasi masa kini tidak dapat mengaitkan dengannya langsung.

Bagi mereka yang lahir pada 70an dan 80an, nama Trojan pastinya mengingatkan mereka kepada serbuk pencuci yang menggunakan imej lelaki memakai pelindung kepala ala satria.

Tetapi cuba tanya generasi masa kini, sebut Trojan, mereka akan merujuknya kepada sejenis virus dalam perisian komputer.

Mungkin dalam 10 tahun akan datang, pelbagai jenama yang mengelilingi kehidupan generasi muda sekarang juga akan tinggal kenangan.

FMT Ohsem menyenarai 9 jenama yang hilang daripada pasaran Malaysia dalam lingkungan masa 2 hingga 3 dekad dan tinggal menjadi kenangan.

Carrefour

Gambar AFP

Ingat lagi pasar raya hiper Carrefour? Operasi pasaraya itu diambil alih oleh Aeon Co. Ltd. (Aeon) pada 1 November 2012 sekali gus menjadi pengendali pasar raya kedua terbesar tempatan. Berikutan itu Carrefour Malaysia dijenamakan semula menjadi Aeon Big Malaysia (Aeon Big) dengan berkonsepkan peruncitan komuniti. Operasi Aeon Big dijalankan secara berasingan dengan pasar raya Aeon Malaysia yang lebih fokus kepada golongan pertengahan dan ke atas.

Kodak

Sumber gambar: fortune.com

Lebih 100 tahun dalam pasaran, jenama ini pernah mendominasi pasaran fotografi secara meluas. Namun syarikat gergasi dari Amerika yang menguasai 70% pasaran dunia ini terpaksa akur kepada kemajuan teknologi dan kedegilan pengurusan yang mengambil langkah kiri. Antara sebab kejatuhan jenama ini ialah persaingan sengit daripada jenama dari Jepun, Fujifilm, kegagalan bersaing dengan kemajuan dunia digital dan tersalah labur.

Blackberry

Sumber gambar: arkdata.com.my

Pernah guna telefon bimbit Blackberry? Bagi mereka yang dalam lingkungan usia 40an dan ke atas, jenama ini sangat sinonim dengan gaya korporat. Namun, ia juga hilang ditelan zaman selepas terlibat dalam beberapa isu, paling besar ialah kebocoran maklumat pengguna. Apatah lagi, pada waktu yan sama kemunculan 2 jenama, Apple dan Samsung juga mengaggalkan usaha syarikat dari Kanada ini terus bertahan. Blackberry akhirnya di Blackburried’kan.

Makro

Sumber gambar: www.phneh.com

Mustahil kalau tak kenal Makro. Pasaraya pertama yang dikhaskan untuk belian secara pukal atau borong ini nampaknya tidak berhasil seperti yang dirancang. Antara kenangan yang paling diingati ialah ada ukuran ketinggian untuk memasuki pasaraya borong ini. Maknanya kanak-kanak tidak dibenarkan masuk. Lazimnya mereka akan ditinggalkan di kedai makan atau kafe di luar sementara ibu bapa pergi membeli-belah.Oleh kerana belian borong, plastik juga tidak disediakan, trolinya juga berbeza siap ada mesin kira-kira. Operasinya diambil alih oleh Tesco Extra.

Friendster

Friendster ialah sebuah laman web rangkaian sosial yang popular sebelum wujudnya laman sosial seperti Facebook. Beribu pejabat di Sydney, Australia fungsinya ialah untuk menghubungkan rakan-rakan dan kenalan serta berkongsi kandungan dan media dengan rakan hubungan. Digunakan oleh lebih 115 juta pengguna berdaftar dan lebih 61 juta pengunjung unik sebulan di seluruh dunia, Friendster juga terpaksa akur selepas tidak dapat bersaing dengan kemunculan pelbagai laman sosial era baru. Pun begitu, pada Ogos 2008, Friendster mengambil khidmat Richard Kimber, seorang bekas eksekutif Google, sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya untuk menumpukan perhatiannya pada pelarisan Friendster di Asia. Pada Disember 2009, dilaporkan bahawa Friendster telah dibeli oleh MOL, sebuah syarikat Malaysia.

Groupon

Jenama ini pernah buat ramai pembeli dalam talian hilang kewarasan. Ini kerana konsepnya yang memaksa kita buat pembelian pada harga istimewa yang benar-benar berbaloi. Sama ada perlu atau tidak barangan dan perkhidmatan itu, bukan menjadi persoalan. Bermula pada 2011, Groupon yang berkembang pesat hanya bertahan sehingga 2017, selepas Kumpulan Fave mengambil alih operasinya.

True Fitness

Sumber gambar: mapio.net

Pusat kecergasan yang pernah popular suatu masa dahulu juga hilang dari radar selepas operasinya ditutup secara tiba-tiba pada 2017. Ia ekoran beberapa siri penutupan pust tersebut selain penutupan operasi di negara jiran, Thailand. True Group ditubuhkan di Singapura pada tahun 2004 dan berkembang di Malaysia, Thailand, Taiwan dan China. Ia mempunyai lebih 200,000 ahli di seluruh rantau ini.

Tora Aman

Sumber gambar: gempak.com

Tora Aman merupakan sebuah syarikat penerbitan komik di Malaysia yang menerbitkan manga dari Jepun dan manhwa dari Korea Selatan. Penerbitan Tora Aman diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan bahasa Cina. dan merupakan salah satu penerbit utama manga di Malaysia. Ditubuhkan sekitar tahun 1993 dengan penerbitan manga Doraemon, syarikat ini bagaimanapun mengadakan jualan penutupan gudang dari 11 April hingga 17 April 2017 sebelum ia menamatkan operasi pada 31 Mei 2017

The Loaf

Sumber gambar : vkeong.com

Bakeri yang juga dijolok sebagai ‘kedai roti Mahathir’ kerana 51% kepentingan dalam syarikat bakeri tersebut dimiliki Tun Mahathir Mohamad sebelum beliau dipilih semula menjadi Perdana Menteri. Perniagaan usaha sama antara Mahathir dan Motoko Resources Sdn. Bhd. ditutup selepas beroperasi selama 12 tahun. The Loaf membuka cawangan pertamanya di Telaga Harbour, Langkawi pada 2006. Dalam tempoh 12 tahun, ia melebarkan sayapnya kepada 12 cawangan termasuk di KLCC, pusat membeli-belah Pavilion dan Sogo di Kuala Lumpur dan Empire Shopping Gallery, Subang Jaya.

Selain yang disebutkan di atas banyak lagi jenama yang hanya tinggal sejarah, pupus ditelan zaman. Jenama stesen petrol Caltex dan Esso, bakeri Delifrance, kilang roti High 5, perkhidmatan e-hailing Uber, jenama pakaian Quicksilver, kasut tempatan Aliph, pasar raya seperti Ocean dan Great Wall serta banyak lagi!