
Menurut Ahli Parlimen Padang Rengas itu, ia tidak akan berlaku sekiranya tidak ada perebutan jawatan ketua menteri.
“Ini salah mereka sendiri. Sebab yang berebut (Tan Sri) Musa Aman dan (Datuk Seri) Shafie Apdal. Mereka yang berebut jawatan itu menyebabkan Umno Sabah berpecah,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan semalam yang mengatakan tindakan pemimpin kanan Umno Sabah keluar daripada parti itu disebabkan kecelaruan hala tuju Umno.
Abdul Rahman berkata, di dalam konteks Sabah, keunikan politiknya gagal dibaca oleh Umno peringkat pusat pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Mereka yang keluar parti itu terdiri daripada 9 Adun, 4 ahli Parlimen, 2 senator dan 21 ketua bahagian Umno Sabah.
Nazri berkata, kecelaruan hala tuju parti itu tidak ada kena-mengena dengan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno.
“Sebab dia berpecah sebelum Datuk Seri Zahid menjadi presiden. Jadi salahnya ahli Umno Sabah itu sendiri. Kalau Shafie dan Musa tak berebut, taklah berpecah Umno di sana.
“Shafie keluar dengan kumpulan dia dan buat Warisan, itu mulanya perpecahan Umno Sabah. Macam mana nak salahkan Semenanjung pula?Tak ada kena-mengena. Ini kelemahan pemimpin Umno Sabah dan tak ada kena-mengena dengan pemimpin di peringkat Malaysia,” katanya.
Yang keluar parti itu, katanya, tiada kekuatan mental
Nazri menafikan ada gelombang kedua membabitkan penghijrahan baramai-ramai pemimpin Umno selepas ini, sebaliknya hanya akan ada gelombang kecil.
Bekas menteri pelancongan itu berkata, sehingga kini terdapat 3 gelombang kecil, iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed yang memasuki PPBM dan tindakan 4 ahli Parlimen serta 9 Adun dari Sabah yang keluar Umno.
“Kita tunggu sahaja. Lumrah sebab orang ini semua tak ada kekuatan mental. Mereka mungkin ada masalah sendiri yang kita tak tahu, banyak daripada mereka ada masalah peribadi.
“Ada yang tak dapat sokongan daripada Umno bahagian mereka,” katanya.
Nazri berkata, parti itu juga tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang keluar daripada parti itu kerana itu merupakan hak mereka.
“(Sebelum ini) ada kes PAS Kelantan membuat enakmen undang-undang anti lompat dan apabila dibawa kes mahkamah didapati enakmen itu bertentangan dengan perlembagaan Malaysia, maka tidak boleh digunapakai,” katanya.