Lynas: Kami rugi jika tutup kilang kerana latih ratusan dalam R&D

Lynas melahirkan 645 tenaga kerja berkemahiran yang berupaya menjalankan kajian dan pembangunan dalam bidang pemprosesan nadir bumi. (Gambar fail)

KUANTAN: Lynas Malaysia Sdn Bhd berkata, ia merugikan jika operasi kilangnya di Gebeng dihentikan, selepas mereka melatih ramai warga tempatan dalam bidang pemprosesan nadir bumi.

Timbalan Presiden Modal Insan dan Komuniti Lynas, Mimi Afzan Afza Abdullah berkata pihaknya sedia berbincang dan meneliti cadangan pihak berkaitan untuk membolehkan kilangnya terus beroperasi.

“Lynas telah melahirkan 645 tenaga kerja berkemahiran yang berupaya menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) dalam bidang ini.

“Produk yang dihasilkan kilang Lynas sememangnya digunakan untuk membuat peralatan berteknologi tinggi,” katanya selepas menyertai “Program Back To School” melibatkan 250 kanak-kanak kurang berkemampuan dari sekitar Beserah, Balok dan Sungai Ular di sebuah gedung pakaian hari ini.

Beliau juga berharap kerajaan dapat mengambil kira sumbangan positif Lynas.

“Industri ini banyak memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Kita berharap ia tidak berkubur. Kita harus mengambil peluang keemasan ini kerana ia sudah berada di depan mata.

“Kami berharap kepakaran yang ada di Lynas Malaysia tidak disia-siakan…kami sedia bekerjasama dalam membina Malaysia yang maju serta berjaya,” katanya.

Selasa lalu, 130 pekerja Lynas berhimpun di luar bangunan Parlimen untuk menggesa kerajaan menyelamatkan pekerjaan mereka dengan membenarkan syarikat itu terus beroperasi.

Mereka menyerahkan satu memorandum itu terhadap ancaman kerajaan tidak memperbaharui lesen syarikat itu kerana didakwa tidak mematuhi peraturan pengurusan sisa buangan toksiknya.