Lynas perlu kotakan janji buang sisa dari Malaysia, menteri beritahu pekerja

Yeo Bee Yin berkata, beliau memahami kebimbangan pekerja Lynas akan hilang pekerjaan jika kerajaan tidak memperbaharui lesen kilang nadir bumi itu di Gebeng.

PETALING JAYA: Putrajaya mempertahankan keputusan mengarahkan Lynas Malaysia Sdn Bhd mengeluarkan sisa buangan radioaktifnya dari Malaysia atau lesennya tidak akan diperbaharui.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata beliau memahami kebimbangan pekerja Lynas akan hilang pekerjaan, tetapi syarikat itu hanya menjaga keuntungan tanpa mengotakan janji untuk mengeluarkan sisa buangannya dari Malaysia.

Beliau melampirkan 2 surat akujanji bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012 oleh Lynas Australia serta Lynas Malaysia, dalam kenyataan yang dimuat naik ke Facebooknya hari ini.

“Majikan anda telah 2 kali menyatakan komitmennya untuk mengeluarkan residu dari Malaysia.

“Memandangkan risiko berbahaya yang meningkat dengan peningkatan residu terkumpul, tindakan ini adalah satu keperluan.

“Sesungguhnya saya tidak meminta lebih dari apa yang telah dijanjikan oleh majikan tuan-tuan dan puan-puan pada 2012.

“Maka, menjadi harapan saya Lynas Malaysia menunaikan janji mereka secara ikhlas dan bersungguh-sungguh dengan memulakan proses penghantaran keluar residu WLP (Water Leached Purification Residue) dari Malaysia.”

Yeo berkata, sebagai menteri, beliau bertanggungjawab menjaga kepentingan awam dan kesejahteraan rakyat Malaysia, tetapi Lynas bertindak mementas sandiwara melalui “pelbagai iklan berbayar di akhbar serta sidang media untuk memberikan gambarkan negatif terhadap kementerian”.

Katanya, Lynas memperoleh keuntungan A$129 juta pada 2017 dan 2018, tetapi kos untuk mengeluarkan sisa buangan itu dari Malaysia hanya 10% atau A$14 juta daripada keuntungannya.

“Jika kiraan tersebut tepat, ini bermakna 10% daripada keuntungan Lynas daripada operasi setahun lepas sudah mampu menghantar balik sisa terkumpul dalam 6 tahun operasi.”

Beliau berkata, terdapat 2 jenis sisa buangan utama terkumpul di Lynas Advance Materials Plant (LAMP), iaitu 451,564 tan metrik WLP dan 1.113 juta tan metrik Neutralization Underflow Residue (NUF).

“Sehingga kini, tiada penyelesaian untuk residu terkumpul yang disimpan di tapak penstoran sementara dengan kaedah ‘landfill’ terbuka.

“Risiko berbahaya terhadap masyarakat sekeliling dan alam sekitar bertambah dengan peningkatan residu terkumpul kerana ianya terdedah kepada ancaman bencana alam seperti banjir besar.”

Minggu lalu, Lynas dilaporkan berkata, ia secara sukarela akan berusaha melaksanakan cadangan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LAMP mengenai operasinya di Gebeng.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze dilaporkan berkata, ia termasuk saranan mengeksport sisa buangan WLP dari Malaysia, jika lokasi kemudahan pusat pelupusan kekal (PDF) gagal dikenal pasti atau diluluskan.

Bagaimanapun, 130 pekerja Lynas berhimpun di luar bangunan Parlimen Selasa lalu kerana bimbang operasi syarikat itu akan dihentikan kerajaan.

Wakil kumpulan pekerja itu, Jumaat Mansor dilaporkan berkata, jika masalah tidak diselesaikan segera, lebih 90% daripada kira-kira 1,000 kakitangan Lynas yang merupakan warga tempatan akan kehilangan pekerjaan dan lebih 4,000 isi rumah akan terjejas.