Mas Ermieyati akhirnya sertai PPBM

Mas Ermieyati akhirnya sertai PPBM

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu mengumumkan keluar Umno dan memilih menjadi ahli Parlimen bebas pada 1 Julai lalu.

Mas Ermieyati Samsudin memuat naik gambar penyerahan borang PPBM kepada Dr Mahathir Mohamad.(gambar fb mas ermieyati)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang keluar daripada Umno Julai lalu mengumumkan menyertai PPBM.

“Saya sentiasa mahukan yang terbaik untuk pengundi Masjid Tanah dan sentiasa mencari solusi yang lebih berkesan dalam membela kepentingan mereka.

“Maka atas dasar inilah, setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk menyertai PPBM,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Mas Ermieyati turut memuat naik sekeping gambar penyerahan borang PPBM kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada 1 Julai lalu, Mas Ermieyati mengumumkan keluar daripada Umno dan memilih untuk menjadi ahli Parlimen bebas.

Mas Ermieyati berkata, keputusan itu diambil setelah melihat Umno kebelakangan ini tergelincir dari landasan asal hingga ditolak bangsa Melayu sendiri.

Mengulas lanjut, bekas ketua Puteri Umno itu turut mengucapkan penghargaan kepada Dr Mahathir dan kepimpinan PPBM kerana menerima kemasukannya.

Beliau turut berharap dapat membantu usaha PPBM selaku parti komponen kerajaan dalam melaksanakan agenda pemerkasaan wanita muda, selain bersikap lebih terbuka dalam memperjuangkan nasib belia.

“Supaya mereka dapat merasai satu kehidupan yang lebih baik dan juga untuk mewujudkan masa hadapan yang lebih cerah bagi Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.