PPBM belum putuskan jika mahu terima bekas pemimpin Umno Sabah

Rais Hussin berkata, PPBM masih mengkaji kemungkinan memperluaskan sayap ke Sabah.

PETALING JAYA: PPBM belum memutuskan sama ada akan menerima kemasukan bekas pemimpin Umno Sabah yang keluar parti beramai-ramai semalam.

Ketua Biro dan Strategi Dasar PPBM, Datuk Rais Hussin berkata, keputusan akan dibuat selepas rundingan dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan sekutu mereka di Sabah.

“Masing-masing ada perspektif dan pendirian mereka berhubung gerakan politik, PPBM juga ada perspektif kami sendiri, kami sedang mengkaji perkara itu.

“Buat masa ini, kami sedang meneliti, menilai dan bila tiba masanya, kami akan buat pengumuman,” katanya selepas pelancaran buku bertajuk “Striving For Excellence A Life Fulfilled” oleh Mohamed Iqbal Rawther hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu yang berkata, pengundi akan melihat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengkhianat, jika menerima “katak” yang meninggalkan Umno Sabah.

Semalam, 9 Adun, 4 ahli Parlimen, 2 senator dan 21 ketua bahagian Umno Sabah meninggalkan parti itu atas alasan kepimpinan Umno Pusat tidak bersatu, tidak mempunyai hala tuju politik jelas dan sering bercanggah pendapat.

Susulan itu, ada spekulasi mendakwa tindakan itu sebagai persediaan untuk wakil rakyat bebas terbabit menyertai PPBM yang belum mempunyai membuka cawangan di Sabah.

Ditanya pandangan beberapa pemimpin PH yang menolak kemasukan bekas pemimpin Umno PPBM, Rais berkata, beliau menghormati pandangan mereka.

“PH raikan diversiti dalam memberikan pandangan, ini demokrasi. Kami raikan perbezaan ini, akhirnya sebarang keputusan yang kita ambil adalah bagi menguatkan lagi PH.”

Ditanya sama ada pemimpin Umno Sabah itu akan menjadi perintis penubuhan PPBM di negeri itu, Rais berkata, parti itu masih mengkaji sama ada mahu memperluaskan sayap ke Sabah.

“PPBM adalah parti untuk semua rakyat Malaysia daripada Perlis hingga Sabah. Pada masa ini, kita belum lagi berada di Sabah. Kita masih lagi mengkaji.

“Kita turut mengadakan konsultasi dengan rakan kita di Sabah dan insya Allah satu pengumuman akan dibuat.”

Katanya, yang penting ialah semua bekas pemimpin Umno Sabah itu menyuarakan sokongan kepada PH kerana ia mampu mengukuhkan gabungan parti pemerintah.

“Yang pentingnya dalam ucapan mereka semalam disebut selain menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri, mereka juga mengatakan sokongan kepada PH dan kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.”

Semalam, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, terlalu awal untuk parti itu memperluaskan sayapnya ke Sabah, walaupun mereka menerima beberapa cadangan mengenainya.

Katanya, cadangan itu perlu dibincangkan dengan parti komponen PH dan sekutunya bagi mengelakkan percanggahan kepentingan.