10 lagi akan keluar Umno jika Zahid tak letak jawatan, kata Hamzah

Hamzah Zainuddin. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Salah seorang bekas Ahli Parlimen Umno yang keluar parti hari ini memberi amaran 10 lagi ahli akan keluar parti Melayu itu jika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak meletak jawatan presiden.

Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata mungkin akan ada gelombang ketiga penghijrahan dari Umno jika bekas timbalan perdana menteri itu tidak meletak jawatan dalam masa 10 hari ini, lapor Berita Harian.

Menjelaskan tindakannya dan 5 wakil rakyat lain keluar parti hari ini, Hamzah berkata Zahid gagal menggalas tanggungjawab presiden kerana parti itu semakin hilang kepercayaan orang Melayu dan ahli-ahli parti.

“Kami berpendapat Ahmad Zahid gagal menetapkan hala tuju parti dalam keadaan sekarang dan wajar bagi beliau melepaskan jawatan.

“Ia juga berkaitan dengan kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Ahmad Zahid menyebabkan ahli dan rakyat khususnya Melayu tidak yakin dengan kepemimpinan beliau untuk membawa Umno menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam pertemuan ekslusif itu hari ini.

Selain Hamzah, 5 yang lain adalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Hamzah berkata mereka menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri demi kepentingan rakyat dan negara, tetapi belum memutuskan sama ada akan menyertai PPBM.

Penghijrahan hari ini menyusuli tindakan 9 Adun, 4 Ahli Parlimen, 2 senator dan 21 ketua bahagian Umno di Sabah pada Rabu, termasuk Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan bekas menteri negeri Datuk Seri Masidi Manjun.