Anifah sedia tubuh parti baru di Sabah

Anifah Aman keluar Umno untuk menjadi ahli Parlimen bebas pada September lalu. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Bekas menteri luar Datuk Seri Anifah Aman bersiap sedia menubuhkan parti menggunakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai asas perjuangannya.

Sumber rapat ahli Parlimen Kimanis itu memberitahu FMT bahawa Anifah enggan menyertai mana-mana parti kebangsaan berikutan pengalaman peribadi di mana perjuangannya untuk hak Sabah terganggu.

Anifah adalah pengerusi kumpulan digelar MySabah yang mempunyai objektif untuk mengembalikan hak-hak Sabah di bawah MA63.

Ahli-ahlinya termasuk Presiden Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Yong Teck Lee.

Menurut sumber itu, Anifah percaya kepimpinan parti kebangsaan lebih cenderung kepada memberi perhatian terhadap kepentingan pemimpin dan ahli di semenanjung daripada kepentingan mereka di Sabah dan Sarawak.

“Mengecewakan apabila tersekat daripada membincangkan apa-apa mengenai MA63 dalam parti kebangsaan. Oleh itu, keputusannya menubuhkan parti berpusat di Sabah dapat mencapai hasrat rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Anifah, yang keluar Umno untuk menjadi ahli bebas pada September lalu selalu menyatakan hasratnya untuk menyaksikan semangat dan hasrat tulen MA63 ditunai dan dilaksanakan dengan jujur sebagai asas untuk mencapai persekutuan Malaysia yang maju dan bersatu seperti dicita-citakan pengasasnya pada 1963.

Beliau percaya pelaksanaan MA63 tidak boleh lagi diketepikan sebab ia adalah asas untuk Sabah dan Sarawak maju dan menikmati unsur tertentu kesamarataan dengan rakan dalam Perekutuan Tanah Melayu dari segi pembangunan.

Menurut sumber itu, Anifah menyokong kehendak kerajaan Sarawak untuk mewujudkan jawatankuasa rundingan terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Beliau percaya jawatankuasa rundingan itu memberi peluang kepada mereka yang menandatangani MA63 untuk mengkaji dan menilai sama ada semangat dan hasrat perjanjian tersebut dicapai atau sebaliknya dan mengajukan langkah-langkah untuk membantu mencapai pelbagai matlamatnya.

“Anifah mengiktirafkan kepentingan kerajaan Persekutuan dalam membangunkan negara dan akan sokong usaha dan dasarnya bagi mencapai matlamat itu demi kebaikan rakyat persekutuan Malaysia,” kata sumber itu.

Baru-baru ini, terdapat khabar angin bahawa PPBM, yang dipimpin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, akan kembangkan sayap ke Sabah tahun depan setelah berjaya memasuki Sarawak.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, Anifah berpendapat rakyat Sabah dan Sarawak memilih parti berpusat di negeri, berbanding parti kebangsaan untuk mewakili mereka di Parlimen kerana parti tempatan tahu apa yang terbaik untuk rakyat di situ.

“Lagipun, tidak menarik bagi orang Sabah untuk PPBM mengembangkan sayap di Sabah,” katanya.

Oktober lalu, Anifah membayangkan beliau boleh membina “rumah baru” sebagai pentas politiknya dan menafikan beliau akan menyertai Warisan.

Rabu lalu, 31 pemimpin Umno Sabah mengumumkan keluar parti itu untuk menjadi wakil bebas and menyatakan kemungkinan menyertai parti baru walaupun mereka tidak menolak kemungkinan menyertai PPBM.