Najib cadang PTPTN hadiahkan tuala ‘Good Morning’ kepada peminjam

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak terus menyerang dasar Pakatan Harapan (PH) dengan komen sinis, yang terbaru mempersoalkan ketiadaan keputusan konkrit dalam menangani isu hutang berbilion ringgit Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut bekas perdana menteri itu, PH perlu mengaku ia gagal menunaikan janji manifesto pilihan raya untuk mengecualikan pembayaran balik hutang pendidikan itu bagi mereka yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

“Sebagai tanda mohon maaf, hadiahkanlah sehelai tuala Good Morning kepada setiap peminjam,” katanya di Facebook.

Ia susulan kenyataan PTPTN semalam yang mahu tempoh sehingga setahun bagi mengkaji semula pelaksanaan kaedah baharu bayaran balik pinjaman pendidikan.

Ini berikutan kritikan terhadap langkah PTPTN melaksanakan bayaran balik menerusi potongan gaji berjadual mulai tahun depan.

Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bayaran balik akan diwajibkan ke atas peminjam yang mempunyai pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM1,000.

Angka itu kemudian dinaikkan kepada RM2,000. Ia bagaimanapun masih tidak memenuhi janji manifesto PH.

Najib berkata kerajaan tidak akan mampu mencari jalan penyelesaian dan akan terpaksa menciplak polisi pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Kaji. U-turn. Kaji. U-turn. Kaji. U-turn. Kini kaji setahun lagi.

“Tak mustahil sampai masa pilihan raya umum ke-15 tiba pun, PH masih gagal cari penyelesaian,” kata Najib.

“Kalau dah tak boleh tunai janji manifesto atau beri pendidikan percuma, sekurang-kurangnya salin dan tampal apa BN buat dahulu.”