Siapa akan jadi pembangkang jika semua ‘lompat’ parti, soal Wee

Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata, pembangkang yang kuat adalah peraturan nombor satu dalam demokrasi.

PETALING JAYA: Pengerusi MCA hari ini mempersoalkan perkembangan segelintir pihak yang “melompat” ke parti kerajaan sebagai sesuatu yang membimbangkan.

Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, jika semua yang kini berada di pihak pembangkang bertindak menyertai kerajaan, maka siapakah yang akan memainkan peranan pembangkang?

“Siapakah yang akan menjadi suara rakyat di Parlimen dan di luar untuk memikul tanggungjawab memeriksa tindak-tanduk kerajaan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Wee, demokrasi berkembang sekiranya wujud sistem 2 parti yang memainkan peranan semak dan imbang.

Sebelum ini, seramai 36 Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, senator dan pemimpin kanan Umno Sabah bertindak keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Media melaporkan mereka bertindak demikian kerana tidak yakin dengan hala tuju parti itu di peringkat kepimpinan pusat.

Mengulas lanjut, Wee berkata, dengan wakil rakyat Sabah daripada parti kerajaan dan Bebas melebihi majoriti 2/3, maka mereka telah meminda perlembagaan negeri itu bagi membolehkan gabenor negeri berkhidmat melebihi 2 penggal.

“Bagaimanakah langkah ini memberi manfaat kepada rakyat?

“Bagaimanakah langkah ini selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang bertujuan mengehadkan tempoh (perkhidmatan) mereka yang berkuasa?” katanya.

Atas sebab itu, kata Wee, amat penting wujudnya barisan pembangkang yang kuat.

“Ini adalah peraturan nombor satu dalam demokrasi.”