Fuziah: Tiada lagi kuota khas, surat sokongan tunai haji

Fuziah berkata, pemberian surat sokongan untuk memudahkan permohonan mengerjakan haji juga dihentikan.

KUANTAN: Amalan pemberian kuota kepada menteri dan Ahli Parlimen serta surat sokongan untuk mengerjakan haji telah pun dihentikan mulai musim haji tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Perkara itu katanya, dicapai menerusi persetujuan Kabinet supaya kuota 30,200 orang yang diperuntukkan kerajaan Arab Saudi untuk mengerjakan haji dinikmati mereka yang benar-benar layak.

“Apabila kuota ini diberikan pula kepada pihak tertentu, jadi kuota untuk rakyat sudah menjadi semakin sedikit sehingga menyebabkan tempoh menunggu menjadi terlalu panjang… sehinggakan ada yang sudah uzur baru dapat mengerjakan haji.

“Jika kuota yang diberikan kepada pihak tertentu walaupun jumlahnya hanya 50, kadang-kadang berlaku ada yang menjual kepada mereka yang mahukan kuota haji.

“Akhirnya mereka mengambil hak orang yang layak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Komuniti Bersama Anggota Parlimen Kuantan di sini, semalam.

Beliau menambah pemberian surat sokongan untuk memudahkan permohonan mengerjakan haji juga dihentikan selari dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan yang tidak mahu amalan itu menjadi kebiasaan.

“Jika ada rayuan (dalam permohonan untuk menunaikan haji), kami hanya akan memanjangkannya untuk pertimbangan pihak terlibat, namun ia masih dilakukan mengikut prosedur. Hanya mereka yang layak diberi pertimbangan dan tiada lagi layanan khas,” katanya.

Pada perkembangan lain Fuziah berkata, isu guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang akan diserapkan ke jawatan tetap dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan tahun hadapan, memandangkan kajian berkaitan hal itu siap pada Mac.

Beliau menjangkakan isu itu akan mengambil masa selama sebulan untuk dibincangkan oleh Jemaah Menteri, dan jika lancar, berkemungkinan 5,000 orang daripada 31,460 guru KAFA akan menjadi kumpulan pertama menikmati kemudahan itu.