Anwar tegaskan sokongan pada Dr M

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan sokongan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berikutan spekulasi penghijrahan wakil-wakil rakyat Umno akan mengukuhkan PPBM dan melemahkan kedudukannya.

Anwar, yang menunggu masa untuk menjadi perdana menteri, membidas cubaan menimbulkan syak wasangka dan mengadu domba antara beliau dan Dr Mahathir.

“Saya terus menyokong usaha dan kepimpinan Dr Mahathir, dan akan terus bekerjasama dengan beliau untuk menzahirkan agenda reformasi seperti yang telah dipersetujui,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan ini menyusuli berita tentang 10 Ahli Parlimen Umno meninggalkan parti itu minggu lepas, yang bagi penganalisis akan memberi masalah kepada PKR dan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan.

Mutakhir ini Anwar serta beberapa pemimpin dari parti-parti yang bersekutu dengan PPBM menyuarakan kebimbangan terhadap penghijrahan itu.

PPBM bagaimanapun menepis kebimbangan pemimpin-pemimpin Umno dipancing ke parti itu, yang boleh mengukuhkan kedudukan PPBM di Parlimen.

Parti itu berkata ia hanya akan mempertimbangkan penyertaan mereka yang tidak terlibat dalam rasuah pentadbiran lepas.