Bos Mydin cadang cara atasi kekurangan, kenaikan harga telur

Bos Mydin cadang cara atasi kekurangan, kenaikan harga telur

Kenaikan harga berpunca daripada kekurangan penawaran.

Satu cara bagi menghentikan kenaikan harga ialah dengan mengutamakan pasaran tempatan dan menghentikan eksport telur dan ayam.
PETALING JAYA:
Usahawan runcit terkenal, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, Putrajaya boleh mencontohi India dalam mengatasi masalah kekurangan barang keperluan asas di pasaran tempatan, sekali gus menghentikan kenaikan harga.

Beliau membuat cadangan itu berikutan kebimbangan mengenai kenaikan harga telur 2 bulan kebelakangan ini.

Ameer, pemilik rangkaian pasaraya Mydin berkata, satu cara bagi menghentikan kenaikan harga ialah dengan mengutamakan pasaran tempatan dan menghentikan eksport telur dan ayam ke Singapura.

Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata, kenaikan harga berpunca daripada kekurangan penawaran.

“Kebanyakan produk kita dieksport dan kita membenarkannya. Kerajaan perlu mewujudkan mekanisme yang mengharamkan sementara eksport apabila berlaku kenaikan harga. India melaksanakan langkah ini dengan eksport bawangnya,” kata beliau kepada FMT.

“Jika anda pergi ke pasar raya, kadang-kadang anda dapati tiada bawang merah. Ini kerana ia diimport dari India.

“Jadi anda tahu berlakunya kekurangan bahan tersebut di India dan kerajaan negara itu menghentikan eksport.”

Minggu lepas kerajaan berkata, ia sedang mengkaji pengharaman sementara eksport telur.

“Jika ia membantu mengurangkan harga dan memberi manfaat kepada rakyat, kita tentu akan mengkajinya,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, seperti dilaporkan media.

Ameer berkata, eksport sayur-sayuran, kebanyakannya ke Singapura, boleh juga diharamkan sementara.

Sebelum ini dilaporkan Putrajaya sedang mengkaji untuk mengurangkan atau mengharamkan eksport telur bagi memastikan harganya lebih rendah.

Malaysia mengeksport telur ke Singapura, Mauritius dan Hong Kong.

Kerajaan berkata, ia kini menyiasat kartel yang terlibat menetapkan harga.

Selain menghentikan eksport, Ameer juga mencadangkan kerajaan membatalkan permit import (AP) bagi barangan makanan dan hanya mengeluarkannya bagi menggalakkan import apabila berlaku kenaikan harga.

Katanya, kerajaan juga perlu menamatkan dasar harga minimum bagi barangan tertentu seperti gula.

“Harga gula kini ditetapkan pada paras RM2.85 satu kg berikutan dasar kawalan harga. Tetapi sekiranya AP bagi gula dan dasar kawalan harga dihapuskan, harga akan jatuh ke paras RM2.30 setiap kg.

“Hujah menolak penurunan harga gula ialah masalah kesihatan, namun saya percaya pengguna akan terus menggunakan jumlah gula yang sama.”

Beliau berkata, hanya apabila harga “terlalu tinggi” sehingga pengimport tidak melihat keuntungan untuk mengimport, maka kerajaan boleh mengeluarkan AP bagi menggalakkan mereka mengimport.

Katanya, apabila pasaran stabil, AP hanya akan melembabkan bekalan barang-barang.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga perlu memainkan peranan dalam isu ini, iaitu dengan mengeluarkan sijil halal kepada lebih banyak pasaran luar bagi memperluaskan bekalan ayam.

“Kerajaan perlu memaksa Jakim mencari lebih banyak sumber ayam halal kerana tanpanya kita tidak boleh mengimport bahan itu.

“Ia adalah masalah penawaran dan permintaan. Perkara ini telah lama kita sebut. Buka pasaran, perluaskan sumber bekalan dan kurangkan campur tangan kerajaan dari sudut pemberian AP.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.