
IJN dalam satu kenyataan berkata, Adib menunjukkan “kemerosotan progresif dalam fungsi paru-parunya” akibat kecederaan teruk pada organ tersebut.
Doktor membuat keputusan untuk memasukkan semula sistem Veno Venous ECMO bermula jam 9 malam tadi bagi membantu beliau bernafas.
Adib juga memerlukan sokongan dialisis kerana fungsi buah pinggangnya tidak bertambah baik.
“Ini perkembangan kurang baik. Keadaan Muhammad Adib kritikal. Berdasarkan keadaan kesihatan Muhammad Adib, kebenaran lawatan adalah dihadkan,” kata kenyataan itu lagi.
Ahad lepas, Adib dilaporkan masih bergantung pada mesin sokongan hayat bagi membantu organ dalamannya sembuh. Juga dilaporkan keadaan beliau kekal kritikal, tetapi stabil.
Doktor juga dilaporkan telah menghentikan mesin sokongan kepada jantung beliau bagi membolehkannya berfungsi sendiri.
Adib merupakan salah seorang anggota satu pasukan bomba yang berkejar ke USJ25 di sini berikutan protes berkaitan penempatan semula kuil Sri Maha Mariaman yang menyaksikan perusuh membakar beberapa buah kenderaan.
Beliau ditarik keluar dari kenderaan Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan dan diserang.