Kula tepis kritikan terhadap cadangan ‘simpan’ 20% gaji pekerja

M Kula Segaran bersama (dari kiri) Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon; Presiden MTUC, Halim Mansor; Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia, Azman Haron dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda di mesyuarat NLAC.

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran bertegas idea menahan 20% daripada gaji asas bulanan pekerja asing bagi menghalang mereka melarikan diri dari majikan akan menjadi situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak.

Beliau menjawab kritkan daripada kumpulan hak asasi mengatakan cadangan memotong gaji pekerja menyalahi prinsip hak asasi manusia.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan pekerja asing mempunyai sesuatu untuk dibawa pulang selepas mereka menyelesaikan kerja kontrak di sini.

“Jawatankuasa teknikal di Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) sedang mengkaji idea ini secara holistik dan sama ada ia boleh diluluskan,” kata Kula, selepas mempengerusikan mesyuarat majlis itu dengan pihak berkepentingan di Parlimen hari ini.

Beliau berkata pekerja asing dianggap kumpulan yang mudah terdedah kepada bahaya dan pihak berkuasa harus memberi perlindungan kepada mereka.

Kula berkata potongan gaji itu akan menjadi mekanisme semak dan imbang terhadap majikan.

“Kami boleh ambil tindakan terhadap mereka,” katanya, dan menambah beberapa undang-undang seperti Akta Pekerjaan dan Akta Keselamatan Sosial Pekerja mungkin perlu dipinda untuk membolehkan syarikat membuat potongan.

Bagaimanapun, Kula berkata dia akan bertemu dengan anggota majlis pada 29 Januari untuk menentukan sama ada potongan gaji itu perlu dilaksanakan.

Semalam, Kula mencadangkan majikan dibenarkan menolak 20% daripada gaji asas bulanan pekerja asing, mengatakan isu pekerja asing melarikan diri bebanan besar yang dihadapi majikan.

Beliau berkata dengan langkah itu majikan tidak berdepan kerugian ke atas pelaburan untuk membawa masuk pekerja berkenaan.

Kula berkata wang yang dipotong akan disimpan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan mendakwa langkah itu berjaya dilaksanakan di Jepun dan Korea Selatan.