Muktamad, tiada kerjasama DAP-Umno, kata Gobind

Gobind berkata, agenda reformasi dan pemulihan negara harus diutamakan dan mandat diberikan rakyat semasa pilihan raya lepas dihormati.

KUALA LUMPUR: DAP membuat keputusan muktamad untuk tidak bekerjasama dengan Umno, kata Timbalan Pengerusinya Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, semasa pilihan raya umum ke-14, rakyat sendiri menolak parti itu dengan hasrat untuk membina Malaysia Baru.

“Mereka (Umno) telahpun menentang kami habis-habisan dalam pilihan raya itu. Kami meminta rakyat menolak mereka dan rakyat telah pun menolak mereka dengan hasrat membina Malaysia Baru.

“DAP tidak akan bekerjasama dengan Umno. Muktamad. Kami tidak seharusnya berkerjasama dengan mereka,” katanya dalam catatan terbaru di laman Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semalam yang mencadangkan Umno bekerjasama dengan PKR dan DAP demi kelangsungan masa depannya, walaupun anggota parti itu tidak bersetuju dengan idea tersebut.

Mohamed Nazri percaya kerjasama itu merupakan satu-satunya cara untuk Umno terus bernafas sehingga pilihan raya umum ke-15.

Mengenai bekas wakil rakyat BN yang menyertai Pakatan Harapan (PH), Gobind yang juga menteri komunikasi dan multimedia berkata, perkara itu perlu diperhalusi dengan teliti dan akan dibincangkan dalam mesyuarat PH dalam masa terdekat.

Dalam situasi ketika ini beliau berkata, agenda reformasi dan pemulihan negara sepatutnya diberi keutamaan dan mandat yang diberikan rakyat semasa pilihan raya umum lepas perlu dihormati.

“PH perlu menjaga kepentingan rakyat yang telahpun meletakkan kepercayaan kepada PH untuk membersihkan dan menyelamatkan Malaysia,” katanya.