Nik Aziz tak sempat lihat kejatuhan BN, kata Husam

Husam berkata, kejayaan menjatuhkan BN seharusnya diraikan kerana ia merupakan perkara besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

IPOH: Naib Presiden Amanah Husam Musa berkata, bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak sempat melihat kejatuhan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum Mei lalu.

Beliau berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga tidak dapat menjatuhkan BN, tetapi Presiden Amanah Mohamad Sabu berjaya melakukannya.

“Pencapaian kita ialah untuk runtuhkan rejim BN. Tok guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tak sempat nak tengok. Datuk Seri Abdul Hadi Awang tak boleh runtuhkan, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri dan semua ini lagilah tak berdaya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Konvensyen Nasional Amanah 2018 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Husam berkata, kejayaan menjatuhkan kerajaan BN seharusnya diraikan kerana ia merupakan perkara besar yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, termasuk oleh bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Tengku Razaleigh Hamzah pernah tubuhkan Semangat 46. Banyak ‘effort’ yang telah berlaku,” katanya.

Dalam ucapan itu juga, Husam berkata, Amanah adalah sebuah parti masa hadapan.

“Kita adalah parti masa hadapan, PAS adalah parti masa lalu. Kenapa saya kata begitu? Kerana Malaysia adalah sebuah masyarakat ‘multi-racial’,” katanya.

Husam mendakwa PAS kini adalah sebuah parti “karut marut” asabiyah Melayu yang pernah ditolaknya dahulu.

“Dahulunya kita ditamrinkan supaya menggempur pemikiran asabiyah. (Ahli) yang lama-lama masih ingat Muktamar PAS bertajuk ‘Menggempur Pemikiran Asabiyah’.”

“Hari ini PAS masuk dalam lubuk asabiyah. Kita keluar daripada PAS membawa sinar dalam sebuah masyarakat ‘multi racial’,” katanya.

Konvensyen nasional Amanah kali ketiga ini dihadiri 1,000 perwakilan dari 156 kawasan dan merupakan konvensyen pertama selepas parti itu menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum Mei lepas.