PM mahu majikan pastikan penderita HIV tidak didiskriminasi

KUALA LUMPUR: Golongan majlikan di Malaysia perlu memastikan satu dasar yang sesuai diwujudkan bagi mencegah penderita HIV daripada menjadi mangsa stigma dan didiskriminasi di tempat kerja, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata statistik menunjukkan sehingga 89% daripada pengidap HIV di negara ini adalah mereka yang berada pada usia produktif dan membentuk majoriti penduduk yang bekerja.

“Oleh itu, adalah penting bagi Malaysia untuk melabur dalam dasar yang akan memberi sokongan kepada mereka yang dijangkiti HIV di tempat kerja.

“Diskriminasi terhadap pengidap HIV menyalahi undang-undang dan tidak boleh diterima pada zaman ini,” katanya dalam ucapan pada Majlis Jamuan Mala Gala Anugerah Tun Dr Siti Hasmah 2018 hari ini.

Teks ucapan perdana menteri itu dibacakan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Untuk tujuan ini, inisiatif oleh Konsortium Perniagaan Malaysia bersama Yayasan AIDS Malaysia (MAF) untuk mewujudkan peraturan bagi melindungi hak dan menguruskan pekerja positif HIV di tempat kerja perlu diberi perhatian,” katanya.

Dr Mahathir berkata, walaupun Malaysia mencapai kemajuan besar dalam menangani HIV namun usaha menghapuskan penyakit itu masih jauh dengan 90% jangkitan baharu adalah melalui hubungan seks.

Beliau berkata walaupun sesetengah pihak mungkin tidak mahu berbincang mengenai seks namun sudah tiba masa untuk berbuat demikian dalam konteks kesihatan awam.

Justeru, perdana menteri berkata pemegang taruh termasuk masyarakat sivil perlu meningkatkan khidmat pencegahan HIV kepada populasi penting.

Beliau berkata kerajaan banyak melabur dalam memastikan rawatan awal HIV diberi percuma di kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan.

Katanya, kemajuan dalam rawatan HIV membantu mengurangkan jumlah kes HIV/AIDS daripada lebih 7,000 kes baharu pada 2002 kepada kira-kira 3,000 kes baharu setiap tahun selepas itu.

Pada majlis itu, bekas matron, Fadzilah Abdul Hamid diiktiraf sebagai penerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah 2018 atas sumbangnya membantu lebih 4,000 pesakit HIV/AIDS terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak.

Beliau turut menjadi pengasas rumah perlindungan, Rumah Solehan Matron Fadzilah Abdul Hamid yang dtubuhkan Persatuan Perubatan Islam Malaysia sejak 20 tahun lalu dengan sokongan Kementerian Kesihatan.

Fadzilah, 68, membawa pulang trofi, wang tunai RM10,000 serta sijil yang disampaikan oleh isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.