Umno Perak tak akan halang usul terhadap Zahid

Saarani Mohamad. (Gambar Bernama)

IPOH: Umno Perak tidak akan menghalang mana-mana bahagian untuk membuat usul tergempar bagi menentukan nasib Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden parti.

Pengerusi Datuk Saarani Mohamad berkata prosedur tersebut dibenarkan selain termaktub dalam perlembagaan parti.

“Kalau ikut perlembagaan parti, kita tidak akan halang namun kita yakin di Perak, perkara tersebut takkan berlaku,” katanya pada sidang media di bangunan Umno Perak hari ini.

Semalam, bekas calon Presiden Umno yang tewas dalam pemilihan, Khairy Jamaluddin, mendesak Zahid melepaskan jawatan presiden dengan segera.

Ahli Parlimen Rembau itu turut menegaskan desakan dibuat kerana krisis kepercayaan dalam kalangan ahli parti terhadap Zahid semakin meruncing, dengan semakin banyak pemimpin dan Ahli Parlimen Umno meninggalkan parti.

Saarani berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan drastik beberapa Ahli Parlimen Umno yang meninggalkan parti selain tidak menolak ia menjurus ke arah kepentingan peribadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani turut mendesak bekas Ahli Parlimen dan Adun UMNO di Perak yang keluar parti meletak jawatan kerana mengkhianati amanah diberikan rakyat selepas pilihan raya umum Ke-14.

“Secara moralnya, mereka hendaklah melepaskan jawatan Ahli Parlimen untuk membolehkan rakyat membuat pilihan semula. Mereka dipilih dengan jelas atas kapasiti selaku wakil calon daripada Umno dan Barisan Nasional,” katanya.