
“Saya percaya keputusan beliau ini berkemungkinan berpunca daripada rentetan rasa tidak puas hati dan kekecewaan tentang hala tuju parti dan senario politik dalaman semasa,” kata Dr Afif Bahardin yang juga timbalan ketua PKR Permatang Pauh.
Peletakan jawatan Nurul Izzah sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang berlaku sehari selepas beliau dilantik ke jawatan itu.
“Saya juga tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan persekutuan atas apa-apa kapasiti. Saya menyerahkan peranan saya dalam syarikat berkaitan kerajaan di peringkat negeri Pulau Pinang kepada keputusan kepimpinan parti,” kata Nurul Izzah hari ini.
Nurul Izzah juga mengakui beliau sepatutnya membuat pengumuman itu lebih awal, mengatakan perkembangan politik yang berlaku dalam tempoh 9 bulan terakhir jelas tidak ada masa surutnya.
Afif berkata akar umbi menjangkakan Nurul Izzah akan memimpin dan menjadi “isyarat penyatuan” dalam parti itu.
“Saya menyampaikan sesuatu kepadanya secara peribadi tetapi saya tidak mendengar apa-apa.
“Kenapa dia membuat keputusan ini? Ini adalah persoalan yang perlu ditanya dan dijawab. Dia memenangi naib presiden melalui pemilihan,” katanya.
Afif juga menyeru kepimpinan tertinggi mengambil langkah proaktif, mengatakan ada sebab yang mendasari peletakan jawatan Nurul Izzah.
“Peristiwa tertentu mungkin membawa kepada peletakan jawatan ini. Ia bukan sesuatu yang berlaku secara spontan,” kata Afif yang kalah merebut jawatan ketua Pemuda PKR pada pemilihan parti yang lalu.
Terdahulu, bekas ahli Majlis Tertinggi PKR Latheefa Koya mendakwa pelantikan pengerusi negeri parti dijalankan berdasarkan nepotisme.