Last race aku di Johor, kata Allahyarham Mohd Hafiz

Last race aku di Johor, kata Allahyarham Mohd Hafiz

Banyak kali dia sebut, ini ‘last race’ aku, setiap kali kami bersembang mengenai perlumbaan motosikal, dia akan tekankan ayat ‘last race’ itu.

Seolah sudah tahu ajal dah hampir, allahyarham sering menyebut bahawa perlumbaan yang disertai diKejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Bandar Penawar, Johor, adalah yang terakhir buatnya.

Allahyarham, Mohd Hafiz Nor Azman, 22, pelumba CP150 yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix menyebut bahawa perlumbaan disertai di Johor adalah yang terakhir.

Rakan karibnya, Nurhan Md Nayan, 22, berkata, dia sering menyebut bahawa perlumbaan disertai di Johor itu adalah yang terakhir buatnya.

“Saya tak sangka, perlumbaan hari ini betul-betul menjadi yang terakhir buat dia.”

“Banyak kali dia sebut, ini ‘last race’ aku, setiap kali kami bersembang mengenai perlumbaan motosikal, dia akan tekankan ayat ‘last race’ itu.

“Mulanya saya dan rakan lain anggap perkara biasa, tapi hari ini, baru kami faham, ada maksud yang dia nak sampaikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Nurhan berkata, Mohd Hafiz juga ada mengatakan mahu melakukan yang terbaik pada kejuaraan ini bagi mengumpul mata mengekalkan kedudukan di tempat ketiga.

“Kami tahu dia sudah buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga Mohd Hafiz di Kampung Serdang Permai, Simpang Pulai di sini, hari ini.

Sementara itu, kakak kepada Mohd Hafiz, Nor Shaziela, 30, terkilan, apabila hasrat anak ketiga daripada empat beradik itu untuk membawa ibu bapa mereka menunaikan umrah, Januari depan tidak kesampaian.

“Sebelum perlumbaan lagi arwah beberapa kali cakap mahu nak pergi umrah bersama dan sudah siap buat persiapan.

“Dia cakap lepas habis semua ni, perkara pertama dia nak buat nak pergi umrah, nak bawa mak dan ayah, itu memang hajat dia,” katanya.

Menurutnya, Mohd Hafiz yang baru tamat menjalani latihan amali sepatutnya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) di Politeknik Ungku Omar, Ipoh sesi depan.

Pelumba berusia 22 tahun dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu memulakan perlumbaan tersebut di petak pertama.

Bagaimanapun, pada pusingan terakhir perlumbaan, berlaku insiden kemalangan yang meragut nyawa pelumba berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.