MTUC: Caruman KWSP lebih baik daripada ‘simpan’ 20% gaji pekerja asing

Menurut angka kerajaan, terdapat kira-kira 1.76 juta pekerja asing di negara ini.

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mempersoal pendirian Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran yang mempertahankan cadangan “menahan” 1/5 gaji pekerja asing.

Setiausaha Agungnya J Solomon menyoal alasan Kula yang berkata langkah itu bertujuan memastikan pekerja asing akan pulang ke negara asal mereka dengan wang simpanan.

Kula sebelum ini berkata, langkah itu akan menghalang pekerja asing melarikan diri daripada majikan, dan wang tersebut boleh disimpan menerusi skim insurans wajib Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Solomon bagaimanapun berkata, jika kerajaan benar-benar prihatin mengenai simpanan pekerja terbabit, adalah lebih baik ia dimasukkan ke dalam skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Mengapa bebankan mereka dengan potongan 20% untuk simpanan kerana gaji minimum mulai 1 Januari depan adalah RM1,100 dan 20% daripadanya adalah sebanyak RM220.

“Menerusi KWSP, caruman dikongsi dengan majikan. Kalau Kula mahu bantu majikan, maka agensi pekerjaan mesti bertanggungjawab kerana mereka mengenakan fi yang tinggi ke atas pekerja asing.”

Menurut angka kerajaan, terdapat kira-kira 1.76 juta pekerja asing di negara ini.

Mereka bagaimanapun tidak wajib mencarum kepada KWSP.

Solomon berkata, pekerja asing hanya mahu menghantar pulang setiap sen yang diperoleh untuk membantu keluarga di negara asal.

“Ramai perlu hantar wang pulang untuk membayar balik wang yang dipinjam untuk biayai perjalanan dan fi agensi pekerjaan yang tinggi,” tambahnya.

Kumpulan hak asasi mengkritik cadangan potongan gaji 20% itu dengan berkata ia bertentangan dengan hak asasi manusia dan menyebabkan buruh terikat dengan majikan.