
“Kita akan pertimbangkan kalau dia (Rahim) sesuai kita boleh terima, kalau tidak sesuai maka kita tidak terima. Kita bukannya boleh terima semua orang.
“Hal ini kerana, sesetengahnya kita kena kaji terlebih dahulu, semasa dia bebas, semasa dia keluar dari Umno, kalau dia sesuai maka kita boleh terima,” kata pengerusi PPBM itu.
Terdahulu, Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong membantah penyertaan Rahim dan pengikutnya ke dalam mana-mana parti komponen PH.
Khoo menegaskan penerimaan veteran Umno itu boleh merosakkan integriti kerajaan negeri serta melemahkan keyakinan rakyat terhadap PH.
Khoo juga menyeru PPBM menolak permohonan Rahim kerana beliau terpalit dengan pelbagai skandal.
Semalam, Rahim menyerahkan borang untuk sertai PPBM kepada Pengerusi PPBM Melaka Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bersama 100 borang permohonan lain.
Rahim adalah ketua menteri Melaka dari 1982 hingga 1994. Sekiranya permohonan diterima, Rahim akan berada dalam satu gabungan bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Lim dituduh bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan Seksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan selepas mengkritik kerajaan berhubung kes rogol statutori terhadap Rahim pada 1994.
Kerajaan dikritik selepas pendakwaraya menarik balik pertuduhan kerana ketiadaan bukti. Lim dipenjarakan dan dibebaskan selepas 12 bulan pada 1999.
Dr M pertahan setiausaha politik
Dr Mahathir turut mempertahankan Setiausaha Politiknya, Muhammad Zahid Md Arip yang dikaitkan dalam 9 daripada 10 pertuduhan dikenakan terhadap Tan Sri Mohd Isa Samad kerana didakwa menerima sogokan RM3 juta dari pembelian sebuah hotel di Kuching.
“Tuduhan bukan bermakna salah, tuduhan dibuat atas asas yang didapati, kena tunggu hingga dia (Muhamad Zahid) dibicarakan, kalau didapati bersalah barulah mereka dikatakan bersalah. Tetapi tuduhan sahaja tidak bermakna dia bersalah,” katanya.
Menurut pertuduhan yang dikenakan terhadap Isa, Muhamad Zahid didakwa menjadi perantara antara seorang pengarah di syarikat Gagasan Abadi bernama Ikhwan Zaidel dan Mohd Isa.
Muhammad Zahid sebelum ini ditangkap SPRM pada Ogos 2017 berhubung urusan pembelian hotel itu dan direman selama 8 hari.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir mengesahkan PPBM tidak akan menubuhkan sebarang bahagian atau cawangan di Sabah, sebaliknya memaklumkan rakyat dan pemimpin Sabah boleh menyertai partinya.
“Kita tidak akan tubuhkan parti di Sabah, tetapi orang Sabah boleh sertai parti,” katanya.