
KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali meluangkan masa selama 45 minit melawat anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.
Menurut sumber IJN yang mengesahkan perkara berkenaan berkata Siti Hasmah tiba di IJN pada 3 petang.
“Dr Siti Hasmah meninggalkan IJN pada 3.45 petang dan hanya meninjau dari luar bilik kaca tempat Muhammad Adib dirawat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Siti Hasmah turut diiringi beberapa pegawai IJN dan bomba bagi meninjau keadaan terkini Muhammad Adib.
Terdahulu, Muhammad Adib dilaporkan kembali kritikal dan IJN memasukkan semula sistem Veno-Venous ECMO selepas paru-parunya menunjukkan penurunan fungsi untuk membantu keperluan sistem pernafasannya.