SPR pilih tarikh undi PRK Cameron Highlands Rabu ini

SPR pilih tarikh undi PRK Cameron Highlands Rabu ini

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun akan mempengerusikan mesyuarat itu di Putrajaya.

Cameron Highlands ialah kerusi tradisi MIC yang dimenangi C Sivarraajh pada pilihan raya umum 9 Mei lalu dengan majoriti 567 undi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Rabu ini bagi menetapkan hari pencalonan dan pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata Pengerusinya, Azhar Azizan Harun akan mempengerusikan mesyuarat itu di Putrajaya.

“Mesyuarat itu akan menentukan tarikh penting seperti writ PRK, hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari mengundi dan daftar pemilih yang akan digunakan dalam PRK itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sidang media akan diadakan selepas mesyuarat itu.

Bulan lalu, Mahkamah Pilihan raya membatalkan kemenangan Datuk C Sivarraajh di kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, selepas mendapati wang digunakan untuk membeli undi pada tempoh berkempen.

Rabu lalu, Sivarraajh yang juga naib presiden MIC dilaporkan tidak akan mencabar keputusan mahkamah itu dan Barisan Nasional memilih untuk berjuang demi rakyat dalam PRK berbanding ke Mahkamah Persekutuan.

Cameron Highlands ialah kerusi tradisi MIC yang dimenangi Sivarraajh pada pilihan raya umum 9 Mei lalu dengan majoriti 597 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.