Umno Selangor belum bincang gesaan adakan pemilihan parti

Umno Selangor belum bincang gesaan adakan pemilihan parti

Pengerusi Umno Selangor mengulas gesaan mengadakan pemilihan parti secepat mungkin kerana ramai pemimpin Umno keluar parti baru-baru ini.

Ismail Sabri Yaakob berkata, Umno Selangor akan terus setia kepada Umno.
SHAH ALAM:
Umno Selangor belum berbincang sama ada akan mengadakan pemilihan parti dalam masa terdekat, kata Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Setakat ini, tidak ada lagi perbincangan mengenainya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno Selangor, hari ini.

Beliau mengulas gesaan pelbagai pihak, termasuk Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin supaya parti itu mengadakan pemilihan secepat mungkin kerana ramai pemimpin Umno keluar parti baru-baru ini.

Ditanya sama ada Umno Selangor menyokong Zahid sebagai presiden Umno, Ismail Sabri berkata: “Kita kekal dan terus setia kepada Umno.”

Katanya, setakat ini belum ada perbincangan mengenai kedudukan Zahid, walaupun ada pihak mendesaknya melepaskan jawatan.

“Kalau nak buat apa-apa keputusan, kita akan bincang dalam mesyuarat perhubungan negeri.

“Sekarang ini, masih ramai pimpinan Umno Selangor bercuti umrah dan lain-lain. Kita tunggu mereka balik. Kalau semua balik, kita rasakan ada keperluan, jadi kita akan bincang. Apa-apa boleh jadi.”

Khamis lalu, Pemuda Umno Sabah menggesa Zahid meletak jawatan dan menyalahkannya atas tindakan pemimpin kanan negeri itu keluar parti beramai-ramai sehari sebelumnya kerana Umno tidak mempunyai hala tuju.

Naib Ketua Pemuda Umno Sabah, Ghazalie Ansing dilaporkan mendakwa Zahid menggunakan parti itu sebagai “perisai untuk menyelamatkan dirinya”.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang keluar parti bersama 5 ahli Parlimen Umno berkata, jika Zahid enggan meletak jawatan dalam 10 hari, akan ada 10 lagi ahli Parlimen Umno meninggalkan parti itu kerana Zahid gagal meyakinkan orang Melayu serta menyelesaikan masalah parti.

Wakil rakyat keluar parti

Ismail Sabri berkata, Umno Selangor akan mendesak Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh yang meninggalkan Umno, meletak jawatan.

Katanya, Fasiah harus sedar beliau bertanding atas tiket Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu.

“Kemenangan beliau hasil kerja keras dan sokongan pengundi Sabak Bernam. Tindakan beliau tidak wajar belakangkan amanah yang diberikan penyokong dan pengundi Sabak Bernam.

“Kalau dia bermaruah, dia patut letak jawatan, kosongkan kerusi dan bertanding semula sebagai calon bebas atau parti lain.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.