Dr M beri penghormatan terakhir untuk Adib

Dr Mahathir Mohamad (3 dari kiri) dan Siti Hasmah Ali (4 dari kanan) bersama ibu bapa Muhammad Adib (tengah) memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham.

SUBANG: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Muhammad Adib Mohd Kassim, pagi ini.

Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Ali tiba pada jam 8.30 pagi tadi di Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang.

Terdahulu, jenazah dimandi, dikafan dan disolatkan di perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) yang disertai lebih 50 jemaah terdiri daripada pegawai kanan dan anggota bomba.

Jenazah kemudiannya dibawa keluar dari IPFN ke Subang menggunakan van jenazah sambil diiringi pasukan pengiring JBPM dan Polis Diraja Malaysia.

Jenazah Adib kemudiannya diterbangkan ke Kedah jam 8.30 pagi, untuk dikebumikan di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Penolong Pesuruhjaya Bomba, Siti Rohani Nadir berkata, ahli keluarga Allahyarham, termasuk ibu bapa dan tunangnya mengiringi jenazah pulang ke Kedah.

“Dalam penerbangan itu juga kami membawa bersama keluarga, seramai 5 orang, termasuk ibu dan bapa Adib dan beberapa pegawai serta pihak media,” katanya di Pangkalan Udara JBPM Subang.

Anggota bomba mengusung keranda jenazah Muhammad Adib ke dalam helikopter sambil diberi tabik hormat oleh anggota lain.

Bernama melaporkan helikopter membawa jenazah Adib mendarat di padang Sekolah Kebangsaan Tebengau, Kuala Kedah, pada 10.29 pagi tadi dengan kira-kira 1,000 penduduk tempatan menunggu sejak 8 pagi di dalam dan luar kawasan sekolah itu.

Jenazahnya dibawa dengan van jenazah ke kediaman ibu bapanya di Kampung Tebengau kira-kira 1km dari sekolah itu, dengan diiringi 200 anggota dan pegawai berpakaian seragam JBPM lengkap bersongkok sebagai penghormatan terakhir.

Selepas penghormatan terakhir selesai, jenazah dijangka dikebumikan selepas waktu zohor di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, di Kuala Kedah, kira-kira 500m dari rumah keluarga Allahyarham.

Siti Hasmah Ali dilihat cuba menenangkan ibu Muhammad Adib.

Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 9.41 malam tadi, selepas kritikal dipukul perusuh di depan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, 3 minggu lalu.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib antara anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba Subang Jaya dikerahkan ke tempat kejadian, susulan protes berkaitan penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman yang menyaksikan perusuh membakar beberapa kenderaan.

Beliau dilapor cedera parah selepas ditarik keluar dari kenderaan EMRS dan diserang sekumpulan perusuh di depan kuil.