Honda gantung tugas wanita atas komen tak sensitif kematian anggota bomba

Honda gantung tugas wanita atas komen tak sensitif kematian anggota bomba

Sri Utama Auto Sdn Bhd tidak bertolak ansur dan memulakan siasatan dalaman ke atas pekerjanya yang memuat naik catatan tidak sensitif.

Tangkap layar catatan tidak sensitif dibuat kakitangan sebuah syarikat pengedar Honda.
PETALING JAYA:
Sebuah syarikat pengedar kenderaan Honda hari ini menggantung tugas seorang kakitangannya yang memuat naik kenyataan tidak sensitif di media sosial berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim semalam.

Sri Utama Auto Sdn Bhd yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur, turut memohon maaf atas kenyataan wanita itu.

“Kami tidak membenarkan atau bertolak ansur dengan tindakan sedemikian di atas talian atau luar talian.

“Ketika ini, kami menggantung tugas kakitangan berkenaan dan memulakan siasatan dalaman. Kami akan ambil tindakan yang tegas,” kata Pengarah Sri Utama, Wong Chee Keong dalam kenyataan hari ini.

Wong turut mengucapkan takziah kepada keluarga Adib dan berharap mereka tabah melalui saat getir.

Beliau dipercayai merujuk catatan yang dimuat naik ke Facebook dalam sebuah klip video Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media susulan pemergian Adib.

Kakitangan wanita itu menulis: “Bukan kerajaan gagal…tuhan ‘you’ yang gagal tidak sembuhkan Adib.”

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Adib antara anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang dikerahkan ke tempat kejadian, susulan protes penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, di mana beberapa kenderaan dibakar perusuh.

Pemuda berusia 24 tahun itu cedera parah selepas dipercayai ditarik keluar dari kenderaan EMRS dan diserang sekumpulan perusuh di depan kuil.

Beliau meninggal dunia 9.41 malam tadi, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.

Jenazah Adib dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.