Pekilang minta butiran cadangan ‘simpan’ gaji pekerja asing

Gambar Bernama.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) meminta butiran lebih terperinci untuk lebih memahami cadangan memotong gaji pekerja asing sebagai simpanan bagi menangani isu pekerja asing melarikan diri yang dihadapi oleh majikan.

Presiden Datuk Soh Thian Lai berkata walaupun terdapat beberapa hasil positif seperti penjimatan pekerja, perlindungan terhadap pekerja asing melarikan diri, pengurangan pertukaran asing dalam penghantaran pulang jangka pendek, beberapa aspek lain perlu dipertimbangkan.

“Kami perlu melihat sama ada pekerja asing mungkin beranggapan potongan yang dicadangkan sebanyak 20% terlalu tinggi, kerana kebanyakan mereka mungkin mempunyai komitmen kewangan di negara asal, termasuk pembayaran balik hutang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Akta Pekerjaan harus dipinda untuk membolehkan majikan membuat potongan sebagai sumbangan berkanun oleh pekerja asing.

“Pada masa yang sama, Akta Keselamatan Sosial Pekerja juga perlu dikaji semula untuk menjalankan peranan menguruskan dana. Simpanan yang dicadangkan itu kelihatan lebih sesuai dengan model KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) daripada Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia) “katanya.

Soh menambah kerajaan juga perlu mempertimbangkan mekanisme dan kriteria pekerja asing untuk mengeluarkan dana mereka sama ada terdapat faedah yang diperolehi seperti simpanan di bank.

“Terdapat keperluan untuk melihat dari sudut sahsiah dan aspek hak asasi manusia untuk menguatkuasakan tabungan dan merampas pendapatan pekerja yang melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata FMM teruja untuk terlibat dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal yang perlu diadakan untuk membincangkan cadangan ini sebelum mengemukakan kepada Kabinet untuk dipertimbangkan.

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran baru-baru ini mengumumkan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) telah membentuk jawatankuasa teknikal untuk mengkaji cadangan pemotongan 20% gaji pokok pekerja asing dan menyisihkan wang itu sebagai skim simpanan.