Pimpinan PKR negeri harus dipilih bukan dilantik

Baru-baru ini, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelajah seluruh negara untuk berjumpa dengan ketua bahagian di setiap negeri, agar melantik pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) selepas berunding dengan mereka, mengikut Fasal 21.8 perlembagaan parti.

Kemudian, setiap pengerusi MPN ini akan melantik ahli MPN mengikut Fasal 27.4 perlembagaan parti, sedangkan ketua bahagian dan wakil rakyat (ahli Parlimen dan Adun) di negeri berkenaan menjadi ahli MPN secara automatik.

Pelantikan pengerusi MPN kali ini menimbulkan persoalan, memandangkan terdapat ramai muka yang tidak dikenali ramai. Yang lebih teruk lagi, Latheefa Koya mendakwa terdapat unsur nepotisme dalam pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai pengerusi MPN Pulau Pinang oleh bapanya.

Sebelum ini, Ketua Wanita PKR, Haniza Talha (dari kem Datuk Seri Azmin Ali) juga menimbulkan kontroversi, bukan sahaja kerana dikatakan banyak melantik ketua Wanita negeri dari “kem” sendiri, termasuk muka yang tidak dikenali ramai, malah membuat pelantikan dalam keadaan tanpa pelantikan pengerusi MPN (oleh presiden) terlebih dahulu.

Mengikut prosedur, ketua Wanita pusat bukan sahaja perlu berunding dengan ketua Wanita bahagian, malah juga perlu berunding dengan pengerusi MPN berkenaan, sebelum melantik ketua Wanita negeri.

Prosedur untuk Ketua Pemuda PKR pusat melantik ketua Pemuda negeri adalah sama, di mana dia perlu berunding dengan ketua Pemuda bahagian serta pengerusi MPN berkenaan.

Krisis kepimpinan pernah berlaku untuk Pemuda Selangor pada Jun 2008, di mana Khairul Anuar Ahmad Zainudin (Jonah) dilantik oleh Pemuda pusat sebagai ketua Pemuda Selangor yang baru, menggantikan Halimey Abu Bakar (kini Adun Seri Setia), sedangkan MPN Selangor di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim (menteri besar ketika itu) menegaskan Halimey masih ketua Pemuda negeri yang sah, dan pelantikan Jonah tidak sah kerana dibuat tanpa pengetahuan Khalid selaku pengerusi MPN.

Selepas itu, pada 2015, ketua Pemuda Perlis Mohd Shahrun Radzi Salehudin melakukan rombakan barisan pimpinan Pemuda negeri, selepas pihak tertentu mendesak beliau meletak jawatan dengan tuduhan tertentu.

Bagaimanapun, Shahrun menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sebagai fitnah oleh orang-orang yang cuba merebut kuasa daripadanya.

Balik kepada isu pelantikan pengerusi MPN baru-baru ini, sebenarnya pelantikan bagi beberapa buah negeri sememangnya boleh dipertikaikan, lagipun akar umbi parti tidak dapat menyaksikan proses perundingan dan pelantikan di belakang pintu tertutup (behind closed doors) ini.

Akar umbi tidak dapat mengetahui siapakah yang dicadangkan dalam mesyuarat sebagai pengerusi MPN, dan berapakah orang ketua bahagian yang menyokong orang tertentu sebagai ketua mereka.

Mari kita bermula dari Pulau Pinang, di mana selepas Latheefa Koya mendakwa unsur nepotisme, Nurul Izzah meletak jawatan sebagai naib presiden (dipilih) dan menolak pelantikan sebagai pengerusi MPN Pulau Pinang.

Secara peribadi, saya melihat Nurul sebagai seorang yang sememangnya berwibawa sebagai pemimpin dan mampu berdikari tanpa bayangan atau pengaruh bapanya, maka saya tidak banyak melihat unsur nepotisme. Namun demikian, semasa pemilihan parti, Azmin mendahului Rafizi Ramli bagi pertandingan jawatan timbalan presiden di Pulau Pinang.

Difahamkan Nurul Izzah menyokong Rafizi dan Nurul Izzah berada dalam “cai” Reformasi 20 Tahun iaitu pasukan Rafizi. Walaupun Nurul Izzah merupakan salah seorang daripada segelintir kecil pemimpin parti yang mampu meraih sokongan ahli dari kedua-dua kem Rafizi dan kem Azmin, tetapi kita tetap boleh mempersoalkan sama ada ketua bahagian di Pulau Pinang sememangnya mahukan Nurul Izzah sebagai ketua mereka yang baru, atau mereka masih mahukan Datuk Dr Mansor Othman (dari kem Azmin) yang merupakan pengerusi MPN sebelum ini.

Pelantikan Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor sebagai pengerusi MPN Kelantan juga menimbulkan banyak tanda tanya, memandangkan beliau masih agak baru dalam parti. Beliau menyertai parti kurang daripada setahun, dan mendapatkan pelepasan khas untuk bertanding (dan menang) sebagai ketua bahagian Tanah Merah dalam pemilihan parti tahun ini.

Dalam negeri yang didahului Rafizi ini, takkan kem Rafizi tidak mempunyai orang yang lebih sesuai untuk menerajui MPN Kelantan?

Pelantikan Datuk Johari Abdul (dari kem Rafizi) juga menimbulkan persoalan, memandangkan beliau bukan sahaja kalah bertanding untuk jawatan naib presiden, malah juga kalah bagi jawatan ketua bahagian Sungai Petani, di mana beliau sendiri merupakan ahli Parlimen.

Negeri Kedah didahului oleh Azmin, dan bahagian Sungai Petani merupakan salah satu bahagian yang ditawan oleh Azmin.

Bagi negeri Perak pula, pengerusi MPN yang baru ialah Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak juga sesuatu yang agak pelik, memandangkan beliau tidak memegang sebarang jawatan politik dalam 4 tahun yang lepas.
Dalam pemilihan parti tahun ini, beliau menang sebagai ketua bahagian Kuala Kangsar. Bagaimanapun, beliau merupakan antara muka baru yang tidak dikenali ramai. Pada pendapat saya, sepatutnya Dr Lee Boon Chye (timbalan menteri Kesihatan merangkap ahli Parlimen Gopeng) dan Yunus Jamhari (exco kerajaan negeri Perak merangkap Adun Kuala Kurau) jauh lebih layak sebagai pengerusi MPN, atas pengalaman politik mereka sebagai wakil rakyat sejak 2008.

Zahir Hassan sebagai pengerusi MPN Wilayah Persekutuan juga seorang lagi muka baru yang tidak dikenali ramai. Beliau sebenarnya “orang lama” dalam parti, pernah bertanding kerusi DUN Bukit Antarabangsa dalam pilihan raya umum Ke-11 (2004) dan dalam pemilihan parti tahun ini beliau menang tanpa bertanding sebagai ketua bahagian Titiwangsa.

Namun demikian, beliau telah lama bukan lagi seorang pemimpin kanan dalam parti. Bagi saya, bukankah Nik Nazmi Nik Ahmad (ahli Parlimen merangkap ketua bahagian Setiawangsa, bekas ketua Pemuda Pusat) dan Fahmi Fadzil (ahli Parlimen merangkap ketua bahagian Lembah Pantai) lebih sesuai untuk menerajui MPN Wilayah Persekutuan?

Dikatakan kebanyakan pengerusi MPN yang dilantik ini adalah dari “kem Rafizi”, tetapi saya bukanlah orang dari “kem Azmin” yang “ngok ngek ngok ngek” semata-mata kerana perbalahan dalaman parti, malah saya berbangga sebagai seorang anggota parti yang mengundi Rafizi bagi jawatan timbalan presiden.

Namun demikian, selama ini saya cuba mengambil pendirian yang lebih berkecuali dan membuat penilaian secara objektif. Kerana inilah saya tidak mengundi membuta tuli mengikut “cai” seperti lembu dalam pemilihan parti. Jika jelas terdapat masalah besar, maka saya tegur.

Maka, apakah jalan penyelesaiannya? Senang sahaja, meminda perlembagaan parti agar MPN dibuka untuk dipilih oleh ahli parti, seperti bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan jawatankuasa bahagian. Setahu saya, barisan pimpinan negeri bagi DAP dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) adalah dipilih oleh akar umbi, manakala barisan pimpinan negeri bagi parti lain seperti Umno dan PAS adalah dilantik.

Adalah jelas bukan sahaja saya yang menyeru agar pengerusi MPN dipilih, malah Hassan Karim (ahli Parlimen Pasir Gudang) yang menolak pelantikannya sebagai pengerusi MPN Johor kali ini juga membuat gesaan sedemikian dan “pengerusi baru perlulah dipilih secara lebih demokratik dan telus selaras dengan prinsip perjuangan reformasi PKR”.

Ini adalah kerana beliau mendapati pelantikan sendiri dipersoalkan oleh pihak-pihak tertentu.

Buat masa kini, mereka yang menganggotai MPN secara automatik ialah ketua bahagian, wakil rakyat, ketua Pemuda negeri (menjadi naib pengerusi MPN secara automatik), ketua Wanita negeri (menjadi naib pengerusi MPN secara automatik), timbalan Pemuda negeri dan timbalan Wanita negeri, dan jawatan lain dalam MPN adalah seperti berikut (rujuk Fasal 27.3 perlembagaan parti):

• Pengerusi
• Timbalan pengerusi
• 3 orang naib pengerusi (tidak termasuk ketua Pemuda dan ketua Wanita)
• Setiausaha
• Bendahari
• Ketua penerangan
• Setiausaha pengelola
• Ahli MPN dilantik (5 orang ke bawah, tidak melebihi 1/3 jumlah cabang di negeri)

Berdasarkan senarai ini, saya bercadang agar jawatan pengerusi, timbalan pengerusi, dan 3 orang naib pengerusi dibuka untuk dipertandingkan agar dipilih oleh akar umbi.

Adalah lebih baik jika sekurang-kurangnya 5 tempat ahli MPN turut dipilih oleh akar umbi, selain daripada 5 orang ahli MPN lantikan itu.

Dengan proses demokrasi ini, maka sesiapa yang minat menerajui MPN masing-masing akan bertanding dan meraih sokongan anggota parti, agar membuktikan kekuatan dan sokongan yang diperolehi sendiri. Tidak kira siapa yang menang, asalkan pemilihan dijalankan dengan adil dan telus, maka kita semua akan menerima keputusannya.

Ini juga bakal mencegah kemelut politik seperti krisis menteri besar Selangor pada 2014, di mana Khalid dan “archrivalnya” Azmin masing-masing menunjukkan sokongan akar umbi yang kuat di Selangor dalam perebutan jawatan timbalan presiden semasa pemilihan parti ketika itu.

Semasa saya berada di bahagian Ipoh Timor, saya pernah mengemukakan usul dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian 2015 agar MPN dipilih oleh ahli parti dan bukannya dilantik.

Usul saya itu diluluskan sebulat suara, namun demikian sama ada suara kami disedari oleh para pemimpin pusat, adalah tidak diketahui.

Bagaimanapun, sekiranya terdapat suara yang kuat dalam parti agar MPN dipilih, maka saya yakin pemimpin dalam MPP akan mempertimbangkan agar perkara ini diusulkan dalam Kongres Nasional Tahunan atau Kongres Nasional Khas supaya dibahaskan dan diputuskan oleh perwakilan, demi meminda perlembagaan parti bagi tujuan pemilihan MPN.

PKR mengambil suatu langkah yang berani supaya mengamalkan “pemilihan langsung” sejak pemilihan parti 2010, agar setiap anggota parti mempunyai hak mengundi dalam memilih barisan pimpinan peringkat pusat dan cabang.

Ini sesuatu yang tidak dicontohi oleh parti lain seperti DAP, Amanah, Umno, MCA dan PAS yang mengamalkan “sistem perwakilan” di mana hanya perwakilan sahaja yang layak mengundi untuk memilih barisan pimpinan peringkat pusat.

Walaupun PKR kelihatan mengalami pelbagai masalah dalam pemilihan parti seperti dari segi logistik dan persiapsediaan, namun saya melihat pemilihan langsung sebagai satu langkah yang positif dalam perkembangan demokrasi. Maka adalah lebih demokratik jika MPN turut dipilih oleh anggota parti, agar tidak wujud persoalan sama ada MPN disukai oleh akar umbi.

Elijah Hee ialah ahli PKR bahagian Lembah Pantai.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.