Sumber: Ahli Umno nafi tiada aduan salah laku Zahid dalam pemilihan parti

Ahmad Zahid Hamidi memenangi jawatan presiden Umno, selepas mengalahkan 2 pesaing terdekat, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.

PETALING JAYA: Ahli Umno sudah membuat aduan dan laporan salah laku semasa pemilihan Umno, termasuk dakwaan membabitkan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kata sumber.

Sumber itu memberitahu FMT, laporan itu dibuat 5 Julai lalu sebaik sahaja proses pemilihan presiden dan Majlis Tertinggi Umno selesai.

Bagaimanapun, beliau mendakwa Lembaga Disiplin Umno dan Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa tidak mengendahkan laporan itu.

Dakwaan itu bercanggah kenyataan Annuar dalam laporan New Straits Times (NST) hari ini yang Umno tidak menerima sebarang aduan salah laku dalam pemilihan parti, termasuk membabitkan Zahid.

“Dalam laporan NST, Annuar menyatakan yang buat aduan ini adalah orang luar dan tiada kaitan dengan Umno. Sebenarnya Annuar mengelirukan (orang). Surat aduan itu dibuat pada 5 Julai 2018 kepada ibu pejabat Umno, selepas pemilihan parti selesai.

“Pengadu menulis secara rasmi dan pengadu juga ahli Umno dan mempunyai nombor ahli, tetapi aduan itu tidak diendahkan oleh Umno Pusat.

“Annuar, dalam kenyataan beliau dalam NST, telah menipu. Beliau menyalahgunakan kuasa dan pecah amanah serta melakukan kesalahan melindungi kesalahan yang berlaku pada pemilihan Umno.

“Saya kata Annuar penipu sebab Annuar adalah setiausaha agung. Annuar juga pengerusi Lembaga Disiplin Umno. Beliau tidak ambil tindakan untuk menjalankan siasatan terhadap aduan dibuat pada Julai 2018,” kata sumber itu.

FMT sebelum ini memetik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mengesahkan menerima laporan berhubung salah laku dalam pemilihan Umno, Jumaat lalu.

Laporan itu mendakwa Zahid adalah individu yang dianggap “sumber kewangan” kerana menyalurkan wang kepada beberapa bahagian di Sabah.

NST memetik SPRM sebagai berkata, pihaknya mempunyai asas untuk mendakwa Zahid terbabit dalam politik wang.

Katanya, ahli Parlimen Bagan Datuk itu akan didakwa mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009 kerana memberi atau menerima suapan daripada ejen. Difahamkan, ia membabitkan RM150,000.

Zahid memenangi jawatan presiden pada 30 Jun lalu, selepas mengalahkan 2 pesaing terdekatnya, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.

Annuar pula dilaporkan berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada SPRM untuk siasatan.

Sumber memberitahu FMT, individu yang turut membuat pendedahan melibatkan salah laku Zahid pernah memegang jawatan dalam saf kepimpinan Umno Sabah.

“Beberapa saksi dipanggil memberi keterangan kepada SPRM, sejak laporan dibuat Jumaat lalu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Semua gambar dan dokumen saksi diserahkan kepada SPRM,” kata sumber itu ketika dihubungi hari ini.