Tiada rombakan institusi pembangunan kewangan, kata timbalan menteri

Gambar Bernama.

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk merombak semula pengurusan atau menstruktur semula bank-bank di bawah institusi pembangunan kewangan (DFI) yang melihat kepentingannya dalam menyokong industri strategik.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata DFI memainkan peranan penting dengan menyediakan pembiayaan kepada industri strategik yang berisiko tinggi.

“DFI mengambil risiko yang tinggi dengan memberi pembiayaan kepada syarikat yang berisiko tinggi untuk gagal.

“Secara keseluruhan, sebanyak 23.4% pinjaman diberikan kepada syarikat sedemikian berbanding bank komersial pada kadar 17.2% menunjukkan keupayaannya untuk menyokong sektor berkenaan,” katanya pada sesi penggulungan peringkat kementerian di Dewan Negara hari ini.

Enam DFI di bawah seliaan Bank Negara mencatatkan pertumbuhan yang mampan sebanyak 5 kali ganda kepada RM141.9 bilion pada akhir Oktober lepas, dengan memberi manfaat kepada 2.8 juta peminjam.

Enam DFI itu ialah Bank Pembangunan Malaysia Bhd, SME Bank, Exim Bank Malaysia, Bank Pertanian Malaysia Bhd, Bank Simpanan Nasional dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd.

“DFI memainkan peranan seperti bank komersial. Walaupun begitu, DFI perlu mengimbangi antara mandat dan kemampanannya.

“Oleh yang demikian, ia perlu kekal fokus dalam melaksanakan mandat mereka untuk memastikan semua sektor ekonomi mendapat pembiayaan,” katanya.

Antara sektor fokus DFI ialah pertanian, perusahaan kecil dan sederhana, infrastruktur, perkilangan, eksport, teknologi tinggi, perkapalan dan Bumiputera.