Tiada siapa nak beli Equanimity kerana pemilik diragui, kata Jho Low

Gambar Bloomberg.

KUALA LUMPUR: Low Taek Jho yang sedang diburu pihak berkuasa Malaysia hari ini menyifatkan usaha kerajaan menjual kapal Equanimity sebagai lakonan sahaja.

Katanya, tiada orang yang waras sanggup membeli kapal yang pemiliknya diragui.

Low berkata demikian dalam kenyataan dikeluarkan peguamnya menerusi Wells Haslem Mayhew Strategic Public Affairs of Australia.

Low, yang dikehendaki di Malaysia berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) scandal, masih bersembunyi.

Peguam S Sitpah, yang mewakili kerajaan, sebelum ini memberitahu, mereka dalam fasa kedua menjual kapal tersebut.

“Fasa pertama menerima tawaran, tetapi ia tidak pada tahap yang boleh diterima. Oleh itu, kami perlu masuk ke fasa kedua,” katanya.

Tawaran kedua, katanya, adalah jualan biasa melalui rundingan persendirian.

Low mendakwa Equanimity dimiliki oleh Equanimity (Cayman) Ltd tetapi dia “tidak semena-mena diheret ke dalam liputan media mengenai rampasan kapal secara tidak sah itu oleh kerajaan Malaysia”.

“Kegagalan kerajaan (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) melelong Equanimity satu lagi contoh rejim Dr Mahathir mengutamakan tindakan tidak sah mengatasi kedaulatan undang-undang dalam usaha mendapat keuntungan politik.

“Ini tindakan PR (perhubungan awam) yang gagal. Dengan merampas kapal itu dari Indonesia, di mana kerajaan AS (Amerika Syarikat) bersedia menanggung kos tinggi untuk menjaga kapal tersebut, menyimpannya dalam persekitaran merbahaya di Pelabuhan Klang dan kemudian memberi akses kepada media dan orang awam tanpa kawalan yang baik, kerajaan Malaysia bertanggungjawab menghakiskan nilai Equanimity dengan banyak,” katanya.

Katanya, Putrajaya mengetepikan keputusan mahkamah di Indonesia dan perjalanan undang-undang di AS dengan merampas kapal tersebut.

Menurutnya, dengan terlalu banyak keraguan tentang pemilikannya, tiada siapa yang berfikiran waras dan bebas mahu membeli kapal tersebut, kecuali pada nilai yang sangat rendah.

Low menyifatkan kegagalan menjual kapal tersebut sebagai pengakuan bahawa lakonan PR politik oleh “rejim Mahathir” telah gagal, dan kerajaan Malaysia mengetepikan undang-undang dan pentadbiran keadilan yang adil.